Kes rogol: MP Singapura menangis, mengaku berbohong di Parlimen

Ahli Parlimen (MP) pembangkang Singapura, Raeesah Khan, memohon maaf kerana bercakap bohong di Parlimen negara itu kerana menuduh polis tidak sensitif terhadap mangsa rogol yang terselamat.

Raeesah, 27 tahun – MP termuda daripada 93 MP Singapura – dalam ucapannya di Parlimen semalam dengan sebak memohon maaf secara mengejut yang sekali gus disifatkan oleh penganalisis akan menjejaskan kredibiliti parti Pekerja.

Ketua Dewan Indranee Rajah kemudian memfailkan aduan terhadap Raeesah yang kini berdepan siasatan jawatankuasa kerana melanggar keistimewaan Parlimen.

Ogos lalu, ketika berucap di Parlimen, Raeesah yang turut mendakwa pernah menjadi mangsa gangguan seks ketika remaja, mencadangkan polis lebih sensitif ketika melayan mangsa gangguan seks.

Raeesah menceritakan bagaimana dia telah menemani mangsa rogol berusia 25 tahun yang terselamat ke balai polis tiga tahun lalu dan wanita itu “keluar sambil menangis” selepas pegawai polis yang mengendalikan aduannya didakwa mengulas tentang pakaiannya dan pengambilan alkohol.

Namun, semalam, Raeesah mengaku dia berbohong dan mengatakan dia tidak menemani mangsa rogol ke balai polis. Sebaliknya, dia telah mengambil cerita daripada kumpulan sokongan wanita yang dihadirinya dan tidak mendapat kebenaran mangsa untuk berkongsi kes itu secara terbuka.

Raeesah berkata, dia sendiri pernah mengalami serangan seksual pada usia 18 tahun ketika belajar di luar negara, dan disebabkan itu dia menghadiri sesi berkumpulan untuk menyokong wanita.

Memikirkan mengapa dia menceritakan anekdot itu dengan cara sedemikian Raeesah berkata:

“Saya fikir banyak perkara itu berkaitan dengan fakta bahawa saya tidak mempunyai keberanian sendiri untuk melaporkan serangan terhadap saya.”

“Saya rasa … sangat terdorong untuk memastikan mangsa yang terselamat lain yang mendapat keberanian untuk melaporkan serangan mereka supaya proses itu dilakukan dengan penuh hormat dan bermaruah,” katanya, mengakui bahawa dia telah melakukan kesilapan dan mengeluarkan “permohonan maaf secara terbuka”.

Sejak membuat dakwaan pada Ogos lalu, polis dan pemerintah Singapura cuba mendapatkan maklumat lebih terperinci daripada Raeesah, tetapi dia enggan berbuat demikian dengan alasan tidak mahu menyebabkan mangsa menjadi lebih trauma.

Setiausaha Agung Parti Pekerja Pritam Singh yang juga Ketua Pembangkang berkata Raeesah tidak sepatutnya membuat dakwaan tidak benar di Parlimen. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR