Kes positif Covid-19 di Indonesia lebih 5.77 juta, 150,430 kematian

Sebanyak 21,380 jangkitan baharu Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam semalam (7 Mac 2022), menjadikan kumulatif positif di negara itu sejak awal 2020 lalu meningkat kepada 5,770,105 kes.

Pasukan Petugas Covid-19 Indonesia melaporkan dalam tempoh 24 jam itu seramai 258 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19, menjadikan kumulatif kematian meningkat kepada 150,430 kes.

Jawa Barat mencatat jangkitan harian tertinggi dengan 4,368 kes, diikuti Jawa Tengah (4,154 kes); Jakarta (2,693 kes); Jawa Timur (1,410 kes); dan Yogyakarta (1,310 kes).

Dalam tempoh 24 jam itu, Jawa Tengah melaporkan kematian tertinggi sebanyak 63 kes, diikuti Jawa Timur (33); Jawa Barat (22) dan Yogyakarta (16 kes).

Indonesia juga melaporkan 448,273 kes aktif, termasuk pesakit yang menjalani rawatan dan pengasingan, turun 27,678 kes berbanding pada Ahad.

Timbalan Menteri Kesihatan Dante Saksono Harbuwono berkata trend kes harian Covid-19 telah mula menurun di peringkat nasional, dilihat daripada penurunan bilangan jangkitan di semua pulau besar di Indonesia.

Selain itu, bilangan pesakit di hospital juga semakin berkurangan. Pada masa ini, 60 peratus pesakit yang dirawat adalah sama ada tanpa gejala atau menunjukkan gejala ringan, katanya.

Sementara itu, perintah Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) Tahap 3 yang dikenakan di seluruh Jakarta dan Surabaya bulan lalu diturunkan kepada PPKM Tahap 2.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan ketika mengumumkannya semalam berkata trend penurunan jangkitan di kedua-dua bandar raya itu membolehkan PPKM dilonggarkan.

Selain kes harian yang semakin berkurangan, beliau berkata kerajaan mempertimbangkan pergerakan rakyat yang mula meningkat sejak seminggu lalu dalam melonggarkan peraturan Covid-19 di kawasan merangkumi Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi, selain Surabaya Raya dan Greater Surabaya.

Kerajaan, juga memutuskan untuk membatalkan keperluan ujian antigen atau PCR untuk pelancong domestik yang telah lengkap menerima vaksinasi,” katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR