Kes menular, hospital di Indonesia tutup pintu kepada pesakit Covid

Permintaan terhadap bekalan oksigen di Indonesia meningkat susulan pertambahan kes Covid-19. - Gambar Reuters

Pihak berkuasa kesihatan Indonesia menutup Hospital Umum Wilayah Papua Barat mulai hari ini kerana tidak dapat lagi menampung jumlah pesakit Covid-19 yang semakin meningkat, tatkala kes di seluruh negara itu terus mencatat angka lebih 30,000.

Memetik laporan Antaranews, Pengarah hospital itu Arnold Tiniap mengesahkan tindakan yang diambil.

“Terdapat 111 pesakit Covid-19 yang sedang dirawat. Kami terpaksa menutup sementara kerana tiada adal lagi ruang untuk menempatkan pesakit. Tambahan pula kami perlu menyediakan bilik untuk 20 kakitangan yang telah terdedah kepada virus itu,” katanya.

Tiniap juga memberitahu bekalan oksigen di hospital itu untuk kes sederhana dan teruk juga semakin berkurangan tetapi masalah ini kini sedang diatasi.

Indonesia hari ini terus merekodkan jangkitan harian melebihi 30,000 apabila mencatatkan 38,391 kes baharu dan 871 kematian dalam tempoh 24 jam, berbanding kes positif terburuk sebanyak 38,391 semalam.

Jumlah kematian harian tertinggi pernah direkodkan negara itu adalah pada Rabu lalu membabitkan 1,040 pesakit.

Tetapi keadaannya akan menjadi jauh lebih buruk, dengan pemerintah republik itu sendiri mengunjurkan dalam senario terburuk, jangkitan harian boleh mencecah lebih 40,000 hingga 70,000.

Media sosial pula dipenuhi dengan permintaan panik untuk tangki oksigen dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, termasuk tokoh terkenal seperti saintis terkemuka Novilia Sjafri Bachtiar, yang mengetuai ujian klinikal vaksin Sinovac buatan China di Indonesia.

Pengkritik menyalahkan Presiden Joko Widodo dan pemerintahnya kerana keengganan mereka untuk melakukan penutupan skala besar yang ketat atau ‘total lockdown’, sebaliknya memilih sekatan zon berskala kecil bagi melindungi sektor ekonomi penduduknya.

Walaupun banyak kes dilaporkan sejak cuti Hari Raya Puasa pada Mei lalu – kebanyakannya disebabkan oleh pergerakan meluas ke seluruh kepulauan dan penularan varian Delta – republik itu hanya melaksanakan langkah-langkah darurat pada 3 Julai hingga 20 Julai, namun terhad kepada Pulau Jawa dan Bali.

POPULAR