Kes di Singapura naik kepada 13,208

Sebanyak 13,208 kes baharu Covid-19 direkodkan di Singapura semalam, peningkatan tiga kali ganda daripada 4,087 kes yang dicatat pada Khamis.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura turut memaklumkan enam lagi kematian akibat komplikasi Covid-19 dilaporkan semalam, menjadikan kumulatif kematian sebanyak 866 kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, 10,312 dikenal pasti menerusi ujian pantas antigen dan didapati mengalami gejala ringan dan sederhana.

Sebanyak 2,734 lagi kes tempatan dikesan menerusi ujian PCR, lapor MOH menerusi kemas kini laman sesawangnya hari ini.

Sepanjang 28 hari lalu, data menunjukkan 85,357 individu dijangkiti Covid-19 dengan 99.7 peratus tidak bergejala atau mengalami simptom ringan.

Sehingga semalam, negara itu merekodkan 379,681 kumulatif kes positif.

Kadar jangkitan mingguan mencecah 1.39 semalam, meningkat daripada 1.23 yang dilaporkan pada Khamis.

Sehingga 3 Februari lalu, 89 peratus penduduknya melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 dan 59 peratus menerima suntikan penggalak. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR