Kes di Singapura melonjak tinggi

Jangkitan harian Covid-19 di Singapura semalam melonjak tinggi berbanding pada Isnin, peningkatan yang telah dijangkakan setiap kali selepas cuti mingguan pada Sabtu dan Ahad.

Dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari semalam, negara itu melaporkan 22,201 jangkitan baharu, berbanding 13,520 kes pada Isnin, menurut statistik Kementerian Kesihatan Singapura (MOH).

Daripada jumlah itu, 21,986 kes melibatkan penularan tempatan dan 215 kes import.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung sebelum ini merujuk kepada corak peningkatan sedemikian, dan menjelaskan bahawa angka akan sentiasa meningkat selepas hujung minggu.

Sebanyak 15 kematian dilaporkan pada Selasa, menjadikan jumlah kematian akibat komplikasi Covid-19 kepada 1,099.

Terdapat 1,499 pesakit di hospital. Seramai 190 pesakit memerlukan sokongan oksigen, menurut statistik terkini di laman web MOH.

Empat puluh sembilan pesakit dimasukkan di unit rawatan rapi, berbanding 54 pada Isnin.

Kebanyakan jangkitan baharu di Singapura adalah kes Protokol 2, iaitu mereka yang sihat atau dinilai mempunyai gejala ringan.

Antara kes yang dilaporkan pada Selasa, melibatkan 19,451 yang diklasifikasikan di bawah Protokol 2, terdiri daripada 19,294 kes tempatan dan 157 jangkitan import.

Sebanyak 2,750 lagi kes disahkan melalui ujian tindak balas rantai polimerase (PCR), dengan 58 daripadanya adalah jangkitan import. – Agensi

 

BERITA BERKAIT
POPULAR