Kes Covid-19 turun: Thailand bakal buka semula sempadan tak lama lagi

Kementerian Kesihatan Thailand hari ini melaporkan jumlah jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu turun lagi kepada 17,165 kes berbanding 17,491 kes yang direkodkan semalam.

Angka baharu itu menjadikan kumulatif kes sejak wabak Covid-19 mula melanda Thailand tahun lalu kepada lebih 1.08 juta kes.

Dalam tempoh sama kementerian itu turut melaporkan 226 pesakit Covid-19 dilaporkan meninggal dunia, menjadikan kumulatif kematian kepada 9,788 kes.

Susulan data yang menunjukkan kes jangkitan baharu semakin menurun, kerajaan Thailand mula memperkemaskan rancangan untuk membuka kembali pintu sempadannya sebelum hujung tahun ini.

Bagaimanapun rancangan itu bergantung kepada pertimbangan Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) negara berkenaan.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCDC) Thailand akan meminta CCSA mempertimbangkan pembukaan semula sesetengah kawasan merekodkan penurunan kes yang ketara.

Pada 16 Jun lalu, Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha berkata kerajaannya merancang membuka semula negara itu dalam tempoh 120 hari.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) Thailand, Opas Karnkawinpong NCDC bersetuju mengenai empat isu yang akan dikemukakan kepada CCSA untuk dipertimbangkan.

Salah satu isu itu ialah mempersiapkan pembukaan semula negara dengan selamat di bawah langkah-langkah kawalan penyakit yang dikenali sebagai ‘Kawalan Pintar dan Hidup Bersama Covid-19’, yang bertujuan membendung wabak tersebut sehingga kes baharu tidak lagi membebankan sistem kesihatan awam, katanya.

“Kita sekarang harus belajar hidup bersama Covid-19 dengan pengetahuan bahawa ia akan menjadi penyakit endemik, terbatas pada negara tertentu,” katanya.

Katanya, salah satu strategi utama melibatkan vaksinasi kumpulan berisiko tinggi, seperti orang tua dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan; membangunkan vaksin baharu; mengambil langkah pencegahan dan pencegahan setiap masa; dan meningkatkan kerja pasukan respons komprehensif Covid-19 (CCRT) di dalam komuniti. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR