Kes Covid-19 turun: Indonesia buka semula sekolah, IPT di Jakarta

Pemerintah Republik Indonesia hari ini mengumumkan peraturan baharu Tahap 4, 3, dan 2 perintah Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) mulai 24 Ogos hingga 30 Ogos 2021.

Peraturan baharu itu terkandung dalam arahan dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi Pulau Jawa dan Bali.

Dalam arahan itu kementerian berkenaan menjelaskan bahawa beberapa wilayah masih diletakkan di bawah Tahap 4 PPKM, termasuk Yogyakarta dan Bali.

Semua daerah dan bandar di kedua-dua wilayah itu tidak mengalami penurunan tahap sekatan Covid-19.

Bagaimanapun, Penyelaras PPKM Jawa dan Bali, Luhut Binsar Pandjaitan yang juga menteri kanan Indonesia berkata PPKM Tahap 4 di Yogyakarta dan Bali, akan diturunkan secepat mungkin.

“Kami menjangkakan akan turun ke Tahap 3 dalam beberapa minggu akan datang jika ada peningkatan berterusan dalam pengendalian Covid-19, terutama dalam kes-kes sembuh dan mengurangi angka kematian,” katanya.

Pada masa sama, pihak berkuasa hari ini membenarkan sesi persekolahan di Jakarta dibuka semula secara bersemuka setelah bandar raya itu diisytiharkan ‘bebas’ Covid-19 serta diletakkan pada Tahap 3 PPKM.

Peraturan pembelajaran bersemuka dinyatakan dalam arahan ditandatangani Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Tito Karnavian, di mana hanya 50 peratus daripada jumlah kapasiti dibenarkan berada di dalam kelas.

Arahan itu merangkumi sekolah rendah hingga peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

Bagaimanapun Timbalan Gabenor Jakarta Ahmad Riza Patria berkata pihaknya masih meneliti situasi dan belum membuat keputusan mengenai pembukaan semua sekolah dan universiti.

Sementara itu, pemerintah Indonesia juga memutuskan untuk memasukkan semula data kematian akibat Covid-19 ke dalam PPKM. Jumlah kematian telah diketepikan selama dua minggu sejak pemerintah melakukan pembetulan data.

“Pembetulan jumlah kematian di beberapa kawasan semakin baik, dan banyak kes kematian yang tidak dilaporkan telah diserahkan,” kata Luhut.

Beliau menjelaskan kesannya, bagaimanapun, akan ketara, seperti lonjakan jumlah kes yang disahkan dan kematian.

“Mengenai angka kematian yang tinggi di beberapa daerah, Presiden (Joko Widodo) secara khusus meminta pemeriksaan dan pembetulan segera dilakukan,” tambahnya.

Menurutnya, jumlah kematian yang tinggi juga disebabkan oleh keengganan masyarakat untuk menjalani kuarantin di tempat pengasingan berpusat, sehingga pesakit lambat tiba untuk mendapatkan rawatan apabila kesihatan mereka semakin merosot. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR