
Seekor burung berjalan melewati stesen kereta api Circular Quay yang sunyi ketika 'lockdown' dilaksanakan untuk mengekang penyebaran wabak Covid-19 di Sydney, Australia. - Gambar Reuters
Bandar terbesar di Australia, Sydney, merekodkan lonjakan kes tempatan Covid-19 hari ini, sekali gus memberi amaran bahawa penularan wabak itu akan menjadi semakin buruk, terutama di negeri New South Wales.
Sydney telah memasuki minggu keenam sekatan darurat dan semalam, kerajaan melanjutkan lagi tempoh ‘lockdown’ selama empat minggu lagi sehingga 28 Ogos.
Kerajaan New South Wales juga dilaporkan telah meminta bantuan pihak tentera untuk menguatkuasakan ‘lockdown’ di bandar yang dihuni kira-kira enam juga penduduk itu.
Sejak beberapa minggu ini, varian Delta telah mula merebak ke seluruh ibu kota Sydney.
Di sebalik ‘lockdown’ itu, Sydney yang menjadi ibu negeri New South Wales melaporkan 239 lagi jangkitan baharu Covid-19, iaitu rekod harian tertinggi sejak Mac tahun lalu.
Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian berkata keadaan mungkin akan bertambah buruk kerana jumlah orang yang dijangkiti sangat tinggi dan ia telah menular dalam kalangan masyarakat.
Berejiklian juga memaklumkan terdapat satu kes kematian akibat Covid-19 di ibu kota itu dan menjadikan 13 kes kematian di seluruh New South Wales. Keseluruhannya Australia mencatatkan 921 kematian.
Dengan sedikit sahaja bukti bahawa sekatan baru-baru ini mengurangkan bilangan kes, Berejiklian menegaskan peraturan baharu akan dikenakan di barat daya dan barat Sydney di mana sebahagian besar kes Covid-19 menular.
Mengikut protokol kesihatan yang dikeluarkan, penduduk di lapan kawasan tumpuan di Sydney diwajibkan memakai pelitup muka ketika keluar rumah. Mereka hanya dibenar keluar dalam lingkungan lima kilometer sahaja dari rumah masing-masing.
Polis New South Wales memaklumkan bahawa pihaknya telah meminta kerjasama 300 orang anggota tentera bagi membantu melaksanakan perintah penutupan yang lebih ketat mulai esok.
Berejiklian berkata sebahagian projek besar pembinaan akan dibenar beroperasi.
Beliau turut menegaskan bahawa sekatan dan protokol kesihatan itu dilanjutkan kerana masih ramai penduduk Sydney yang belum mendapat suntikan vaksin.
Berdasarkan data dikeluarkan pihak berkuasa Australia, hanya sekitar 17 peratus daripada penduduk New South Wales yang berusia 16 tahun ke atas telah menerima suntikan vaksin. – Agensi