Kes Covid-19 di Singapura naik lagi

Kementerian Kesihatan (MOH) Republik Singapura melaporkan 3,635 jangkitan baharu Covid-19 dikesan semalam, meningkat berbanding 3,496 kes yang dicatatkan pada Selasa.

Jumlah itu menjadikan kumulatif positif di negara pulau itu sejak awal tahun lalu sehingga semalam sebanyak 207,975 kes.

Bagaimanapun kadar jangkitan mingguan turun kepada 0.96 semalam, berbanding 1.09 pada Selasa, kata MOH dalam laporan harian Covid-19 lewat malam tadi.

Kadar jangkitan mingguan melebihi satu menunjukkan jumlah kes baharu mingguan masih meningkat.

Daripada jumlah jangkitan baharu itu, 3,223 kes melibatkan penularan dalam komuniti; 409 di kediaman pekerja asing; dan tiga kes import.

Sebanyak 535 daripada kes tempatan melibatkan individu berusia 60 tahun dan ke atas.

Pada masa sama MOH turut memaklumkan 12 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam, menjadikan keseluruhannya 442 kematian sejak awal tahun lalu.

Pesakit yang meninggal dunia itu berusia antara 59 dan 99 tahun dan mempunyai sejarah penyakit lain, kata MOH.

Sehingga semalam, seramai 1,665 pesakit dirawat di hospital, 293 memerlukan oksigen, termasuk 72 yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), dan 69 pesakit ICU yang memerlukan alat bantuan pernafasan. – ST

BERITA BERKAIT
POPULAR