Kes Covid-19 di Singapura melonjak semula

Jangkitan baharu Covid-19 di Singapura dalam tempoh 24 jam semalam naik semula daripada 2,470 kes yang dilaporkan pada Isnin, kepada 3,397 kes semalam.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam laporan harian Covid-19 bagaimanapun memaklumkan kadar jangkitan mingguan turun kepada 0.82 berbanding 0.84 pada Isnin.

Kadar jangkitan merujuk kepada nisbah kes komuniti pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan yang melebihi satu menunjukkan bahawa jumlah kes mingguan baharu Covid-19 masih meningkat.

Jumlah jangkitan terbaharu itu melibatkan 3,222 kes dalam komuniti, 169 melibatkan pekerja asing dan enam kes import.

Kes dalam komuniti turut melibatkan 513 pesakit berusia 60 tahun dan ke atas, kata MOH sambil menjelaskan kumulatif kini mencecah 224,200 kes.

MOH juga memaklumkan dalam tempoh 24 jam itu 12 pesakit berusia 58 hingga 95 tahun meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19.

Jumlah terbaharu itu menjadikan keseluruhannya 523 kes kematian dilaporkan di Singapura, kata MOH.

Sementara itu, jumlah penggunaan kemudahan di unit rawatan rapi meningkat kepada 72.4 peratus berbanding 68.5 peratus pada Isnin. – ST

BERITA BERKAIT
POPULAR