Kes Covid-19 di Jakarta semakin turun

Ketika Indonesia menghadapi gelombang jangkitan Covid-19 yang dahsyat, data pemerintah Jakarta menunjukkan penurunan kes sekali gus mengurangkan tekanan dihadapi pihak hospital di ibu kota itu, bahkan ketika keadaan semakin memburuk di wilayah lain.

Jakarta, ibu kota yang menampung lebih 30 juta penduduk jika diambil kira mereka yang tinggal di bandar sekitarnya. telah menjadi pusat penularan Covid-19 sehingga menyebabkan kemudahan kesihatan terutama hospital berdepan malapetaka, sehingga ada pesakit yang terpaksa dirawat di tempat letak kereta.

Namun sejak lebih dua minggu lalu, jumlah kes harian di Jakarta turun daripada 14,619 kes pada 12 Julai kepada 2,662 kes pada 25 Julai, menurut data dikeluarkan pihak berkuasa, sekali gus mengurangkan tekanan dihadapi hospital.

“Situasi ini sangat berbeza. Lorong-lorong di depan unit kecemasan hospital yang selalunya dipenuhi dengan pesakit, sekarang telah kosong,” kata Gabenor Jakarta, Anies Baswedan.

Melalui data yang dikeluarkan itu, peratusan pesakit positif Covid-19 telah menurun hampir separuh daripada 31.2 peratus pada 15 Julai lalu kepada 15.9 peratus pada 25 Julai.

Selain itu, awal bulan lalu, peratusan bagi pesakit yang menerima rawatan di hospital juga telah menurun dari 90 peratus ke 73 peratus.

Namun, bagi peratusan pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) masih menunjukkan tahap yang tinggi iaitu sebanyak 89 peratus.

Anies turut menegaskan bahawa penyebaran wabak ini belum berakhir kerana kadar positif di Indonesia masih lagi menunjukkan tahap yang tinggi dari garis panduan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketua Tim Mitigasi Perubatan Doktor Indonesia, Adib Khumaidi memberitahu media, hanya Jakarta dan beberapa wilayah lain di Jawa yang merekodkan kes jangkitan yang rendah, tetapi di wilayah lain seperti Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi telah merekodkan lonjakan kes yang sangat teruk.

Melalui data Kementerian Kesihatan, tingkat kepadatan pesakit Covid-19 di hospital di Yogyakarta, Kalimantan Timur dan di Kalimantan telah melebihi 80 peratus.

Ketua Agensi Kesihatan Wilayah, Muhamad Muslim memaklumkan permintaan bekalan oksigen di Kalimantan Selatan juga telah meningkat sebanyak dua kali ganda pada Jun hingga Julai dan unit kecemasan di hospital tersebut juga telah dipenuhi dengan pesakit Covid-19 kerana lonjakan kes baharu melebihi 200 peratus. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR