
Sekatan jalan raya dilakukan di Bangkok, Thailand, bagi mengurangkan pergerakan orang ramai.
Thailand hari ini mencatatkan lagi rekod tertinggi jangkitan dan kematian baharu berkaitan Covid-19 menjadikan keseluruhan kes di negara itu kepada 736,522 kes dan 6,066 kematian sejak awal tahun lalu.
Data terbaharu Pasukan Petugas Khas Covid-19 Thailand menunjukkan dalam tempoh 24 jam lalu,21,838 jangkitan baharu dikesan di seluruh negara, manakala 212 pesakit meninggal dunia – kedua-duanya jumlah harian tertinggi setakat ini.
Jumlah harian tertinggi yang direkodkan sebelum ini adalah pada Jumaat sebanyak 21,379 jangkitan dan 191 kematian.
Kira-kira 60 peratus daripada kes baharu di negara itu dilaporkan dari luar Bangkok – wilayah yang sebelum ini dikategorikan sebagai titik panas Covid-19 di Thailand.
Sejak beberapa minggu lalu, varian Delta menular dengan pantas di seluruh wilayah di Thailand, dengan 80 peratus daripada jangkitan baharu disebabkan varian yang mula-mula dikesan di India itu.
Hampir 100,000 pesakit Covid-19 di Bangkok kini menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing, tatkala jumlah jangkitan akibat penularan varian Delta terus meningkat.
Penolong Jurucakap Pusat Penyelarasan Situasi Covid-19 Thailand (CCSA), Dr Apisamai Srirangson berkata jumlah pesakit yang menjalani kuarantin kendiri di rumah di Bangkok hampir mencapai 100,000 semalam. – Agensi