Kes baharu di Indonesia turun tapi kematian kekal empat angka

Republik Indonesia hari ini merekodkan jumlah jangkitan baharu Covid-19 terendah sejak hampir dua bulan lalu, namun kes kematian kekal pada empat angka.

Data Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (KKRI) menunjukkan 17,384 jangkitan baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam hari ini, kadar terendah sejak 23 Jun, menjadikan keseluruhannya 3,871,731 kes sejak pandemik Covid-19 melanda tahun lalu.

Jakarta mencatatkan hanya 513 kes baharu, jumlah terendah sejak 25 Mei lalu, menurut data KKRI.

Bagaimanapun, jangkitan baharu kekal tinggi di Jawa Barat, Jawa Timur dan Jawa Tengah yang mempunyai penduduk paling padat di negara itu.

Jawa Tengah melaporkan 3,803 kes baharu, manakala Jawa Barat (2,095 kes baharu), dan Jawa Timur (1,559 kes).

Dalam tempoh 24 jam itu juga sermai 1,245 pesakit meninggal dunia, menjadikan keseluruhan pesakit meninggal dunia kepada 118,833 orang.

Kes kematian di negara itu turun sejak 18 Julai, namun kembali meningkat melebihi 1,000 pesakit sejak sebulan lalu.

Jumlah kes aktif pula sebanyak 371,021, turut secara drastik berbanding lewat Julai lalu sebanyak 550,000 kes.

Menurut KKRI setakat ini lebih 28.5 juta rakyat Indonesia atau lebih 10 peratus daripada populasinya telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR