Kes baharu Covid-19 turun tiga minggu berturut-turut: WHO

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh dunia turun 21 peratus pada minggu lalu, kali ketiga berturut-turut, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa.

Dalam laporan mingguan pandemik agensi kesihatan PBB, WHO berkata terdapat lebih 12 juta jangkitan baharu Covid-19 minggu lalu.

Jumlah kematian baharu Covid-19 turun lapan peratus kepada kira-kira 67,000 pesakit di seluruh dunia, kali pertama kematian mingguan menurun sejak awal Januari lalu.

Pasifik Barat menjadi satu-satunya wilayah yang menyaksikan peningkatan kes Covid-19, dengan lonjakan 29 peratus, manakala jumlah jangkitan di tempat lain menurun dengan ketara.

Jumlah kematian baharu juga meningkat di Pasifik Barat, sementara jumlah kes baharu Covid-19 tertinggi dicatat di Russia, Jerman, Brazil, Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan.

WHO berkata Omicron kekal sebagai varian yang sangat dominan di seluruh dunia, menyumbang lebih daripada 99 peratus jujukan yang dikongsi dengan pangkalan data virus terbesar dunia.

Menurut agensi PBB itu Delta adalah satu-satunya varian lain yang membimbangkan terdiri daripada kurang satu peratus jujukan.

WHO juga melaporkan bahawa keberkesanan vaksin dos penggalak bertambah baik, berdepan dengan varian Omicron, tetapi mengatakan butiran lanjut masih diperlukan berhubung tempoh perlindungan mampu bertahan.

Agensi itu sebelum ini berkata tidak ada bukti bahawa penggalak diperlukan untuk individu yang sihat dan merayu negara kaya untuk tidak menawarkan dos ketiga kepada rakyat mereka sebelum berkongsinya dengan negara yang lebih miskin.

Pegawai kesihatan menyatakan bahawa Omicron menyebabkan jangkitan yang lebih ringan daripada varian Covid-19 sebelumnya dan di negara yang mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi, Omicron telah merebak secara meluas, tetapi kadar kemasukan ke hospital dan kematian tidak meningkat dengan ketara.

Saintis, bagaimanapun, memberi amaran bahawa masih ada kemungkinan bahawa lebih banyak varian Covid-19 boleh menular dan menyebabkan kematian jika virus itu dibiarkan merebak tanpa kawalan.

Ketua WHO Eropah Dr Hans Kluge berkata rantau itu kini memasuki fasa munasabah untuk virus itu dan berkata kini terdapat “peluang tunggal” untuk pihak berkuasa menamatkan fasa akut wabak itu.

Minggu ini, Britain mengumumkan akan membatalkan semua sekatan Covid-19 yang masih ada, termasuk keperluan untuk individu yang menghidap penyakit itu mengasingkan diri, walaupun Perdana Menteri Boris Johnson mengakui mungkin terdapat varian yang boleh membawa maut pada masa hadapan.

Awal bulan ini, Sweden memansuhkan ujian Covid-19, termasuk kepada individu yang mempunyai simptom, sambil mengatakan bahawa kos ujian dan perbelanjaan sekatan pandemiknya “tidak lagi wajar.”

Sementara itu, pemimpin Hong Kong mengumumkan akan melakukan ujian Covid-19 terhadap semua penduduknya yang berjumlah 7.5 juta orang tiga kali pada Mac, ketika ia bergelut dengan wabak yang paling teruk, didorong oleh penularan pantas varian Omicron. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR