Kes baharu Covid-19 di Singapura tunjuk trend penurunan

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan seramai 2,553 individu dijangkiti Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam, turun berbanding 3,035 kes pada Sabtu.

Pada masa sama MOH berkata 17 individu berusia 45 hingga 89 tahun meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19.

Keseluruhannya Singapura mencatat 218,333 kes positif dan 497 kematian sejak awal tahun lalu hingga semalam, kata MOH dalam laporan harian Covid-19 hari ini.

MOH juga memaklumkan kadar jangkitan mingguan turun lima hari berturut-turut daripada 0.83 pada Sabtu kepada 0.81 semalam. Kadar jangkitan merujuk kepada nisbah kes komuniti pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan yang melebihi satu menunjukkan bahawa jumlah kes mingguan baharu Covid-19 masih meningkat.

Mengenai kes positif baharu, MOH berkata 2,343 kes membabitkan jangkitan dalam komuniti, 205 di kediaman pekerja asing dan lima kes import.

Seramai 425 daripada kes positif baharu melibatkan pesakit berumur 60 tahun dan ke atas.

Sementara itu, kadar penggunaan kemudahan di unit rawatan rapi (ICU) juga turun kepada 69.9 peratus semalam, berbanding 72.8 peratus pada Sabtu, kata MOH.

Sehingga semalam, terdapat 1,654 pesakit Covid-19 dirawat di hospital dan 296 pesakit di wad biasa hospital dan memerlukan sokongan oksigen.

Seramai 70 pesakit yang kritikal dan memerlukan perhatian dimasukkan ke ICU, sementara 64 pesakit lagi memerlukan alat bantuan pernafasan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR