Kes baharu Covid-19 di Singapura naik semula

Kadar penggunaan kemudahan di unit rawatan rapi (ICU) hospital Singapura meningkat kepada 72.7 peratus semalam, berbanding 67.1 peratus pada Isnin, lapor Kementerian Kesihatan (MOH) negara itu.

Kadar jangkitan mingguan juga meningkat daripada 1.05 pada Isnin kepada 1.09 pada Selasa. Kadar jangkitan mingguan melebihi satu menunjukkan jumlah kes baharu mingguan masih meningkat.

Negara itu turut melaporkan 3,496 jangkitan baharu Covid-19 semalam, meningkat lebih 1,000 kes, berbanding 2,470 kes pada Isnin.

Jangkitan baharu itu merangkumi 3,352 kes dikesan dalam komuniti, 141 di kediaman pekerja asing, dan tiga kes import.

Kes dalam komuniti, termasuk 538 individu berusia 60 tahun ke atas.

Jumlah keseluruhan kes positif di Singapura kini mencecah 204,340 kes.

MOH turut melaporkan, sembilan pesakit Covid-19 berusia 53 hingga 93 tahun meninggal dunia semalam.

Semuanya, kecuali dua individu berkenaan yang tidak divaksin, mempunyai penyakit lain, kata MOH tanpa menjelaskan lebih lanjut.

Jumlah kematian terbaharu itu menjadikan keseluruhannya sejak tahun lalu meningkat kepada 430 kes.

MOH berkata sehingga semalam terdapat 1,710 pesakit dirawat di hospital, 308 di wad biasa dan memerlukan oksigen, 74 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi, dan 64 pesakit kritikal dalam ICU yang memerlukan alat bantuan pernafasan. – ST

BERITA BERKAIT
POPULAR