Kes baharu Covid-19 di Singapura naik semula

Penularan wabak Covid-19 di Singapura kembali meluas apabila dalam tempoh 24 jam semalam sebanyak 3,481 jangkitan baharu dilaporkan, berbanding 3,397 pada Selasa sekali gus menyaksikan peningkatan dua hari berturut-turut daripada 2,470 kes pada Isnin.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam laporan hariannya berkata 3,244 daripada kes baharu itu dikesan dalam komuniti setempat, 229 dalam kalangan pekerja asing dan lapan kes import.

Penularan tempatan turut melibatkan 506 individu berusia 60 tahun ke atas.

Sejak awal tahun lalu hingga semalam, negara itu merekodkan 227,681 kes positif.

Pada masa sama, MOH berkata 17 individu berumur 65 hingga 101 tahun meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 menjadikan keseluruhannya 540 kes kematian dilaporkan di negara itu.

Kadar jangkitan mingguan semalam naik semula kepada 0.88 berbanding 0.82 pada Selasa. Kadar jangkitan merujuk kepada nisbah kes komuniti pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan yang melebihi satu menunjukkan bahawa jumlah kes mingguan baharu Covid-19 masih meningkat.

Bagaimanapun, kadar penggunaan kemudahan di unit rawatan rapi (ICU) turun kepada 71 peratus berbanding 72.4 peratus pada Selasa, kata MOH. – ST

BERITA BERKAIT
POPULAR