Kes baharu Covid-19 di Indonesia, Singapura semalam bawah 10,000

Dua negara jiran Malaysia – Indonesia dan Singapura – merekodkan jangkitan harian Covid-19 di bawah 10,000 kes dalam tempoh 24 jam semalam, menurut pihak berkuasa kesihatan kedua-dua negara itu.

Indonesia – negara keempat paling padat penduduk di dunia – melaporkan 6,376 jangkitan baharu, turun berbanding 7,464 kes yang direkodkan pada Selasa, menjadikan kumulatif positif kini lebih 5.97 juta dengan 5.65 juta pesakit telah sembuh.

Jawa Barat menjadi wilayah paling tinggi merekodkan jangkitan harian iaitu sebanyak 1,262 kes, diikuti Jakarta (1,235 kes), dan Jawa Tengah (750 kes).

Sehingga kini, Indonesia mencatat lebih 168,000 kes aktif, lapor Pasukan Khas Covid-19 negara tu.

Semalam, seramai 159 pesakit Covid-19 dilaporkan meninggal dunia.

Sementara itu, Singapura pula mencatat 8,940 jangkitan baharu semalam, termasuk 8,749 kes penularan tempatan dan 191 kes import, kata Kementerian Kesihatan (MOH).

Sejak awal 2020 lalu hingga semalam, negara republik itu mencatat kumulatif positif sebanyak 1,044,661 kes.

Enam pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam, menjadikan kumulatif sebanyak 1,220 kes.

Dalam tempoh sama, Thailand pula melaporkan 25,164 kes baharu Covid-19 semalam, termasuk 48 kes import, menjadikan kumulatif meningkat kepada 3,423,956 kes dengan 3,162,331 pesakit telah sembuh, dan 237,128 masih dirawat di hospital.

Seramai 80 pesakit dilaporkan meninggal dunia semalam, menjadikan kumulatif sebanyak 24,497 kes. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR