Kes 1MDB: Bekas eksekutif Goldman Sachs dapatkan nasihat pakar feng shui

Dua bekas pegawai bank Goldman Sachs mendapatkan nasihat daripada pakar feng shui pada 2016 berhubung cara mengendalikan siasatan Amerika Syarikat (AS) terhadap kes menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menurut salah seorang daripadanya, Tim Leissner ketika memberi keterangan pada Selasa (1 Mac 2022).

Leissner ialah saksi utama pendakwa raya pada perbicaraan terhadap seorang lagi eksekutif Goldman Sachs, Roger Ng, 49, di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, New York, yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat untuk mencuci wang dan melanggar undang-undang antirasuah.

Leissner, 52, mengaku bersalah atas tuduhan serupa pada 2018 dan bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan.

Dalam keterangannya, Leissner mengatakan selepas Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyampaikan sepina kepadanya pada Februari 2016, Ng dan isterinya, Hwee Lim Bin, mencadangkan dia berunding dengan pakar feng shui yang dipercayai, untuk bertanya sama ada mereka akan menghadapi masalah.

Ng telah meninggalkan Goldman pada 2014, kata Leissner.

Tuduhan itu berpunca daripada salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah. Pendakwa raya berkata Goldman dari 2009 hingga 2014 mengumpul AS$6.5 bilion untuk 1MDB melalui jualan bon dan memperoleh yuran AS$600 juta, tetapi AS$4.5 bilion itu dialihkan kepada pegawai, jurubank dan rakan sekutu mereka melalui rasuah dan sogokan.

Leissner menjelaskan dia dan Ng memainkan peranan penting dalam skim itu dan dia secara peribadi memindahkan wang sogokan AS$35 juta kepada Ng, jurubank terkemuka Goldman untuk Malaysia. Leissner menyelia firma bank itu bagi Asia Tenggara.

Dia berkata Ng dan Lim turut hadir dalam pertemuannya dengan ahli feng shui di sebuah hotel di Hong Kong, di mana pakar itu berkata dia akan menghadapi masalah dengan pihak berkuasa dalam tempoh lima tahun akan datang tetapi masalah itu akan diselesaikan sendiri.

“Saya dalam keadaan panik. Mereka merasakan ini akan memberi saya keselesaan dan mereka mahu menunjukkan sokongan mereka,” kata Leissner.

Pada penghujung pertemuan itu, Leissner berkata beliau, Ng dan Lim merekayasa cerita yang melibatkan Lim dan isteri Leissner ketika itu, Judy Chan, untuk menjelaskan mengenai dana AS$35 juta.

Keterangan Leissner boleh memberikan masalah kepada Ng, yang berhujah bahawa wang yang didakwa keuntungan haram sebenarnya diperoleh daripada perniagaan yang sah antara kedua-dua isteri lelaki itu.

Peguam Ng berkata beliau tidak memainkan peranan dalam menggelapkan dana 1MDB, selain memperkenalkan Leissner kepada perantara yang rapat dengan kerajaan Malaysia.

Ng berkata dia kemudian memberi amaran kepada Goldman supaya tidak mempercayai pengantara itu.

Peguam untuk Ng dijangka memanggil Lim untuk memberi keterangan dalam pembelaan terhadap suaminya.

Mereka mula memeriksa balas Leissner, yang telah memberi keterangan selama lima hari pada Khamis.

Pada 2020, Goldman membayar denda hampir AS$3 bilion dan mengatur supaya unitnya di Malaysia mengaku bersalah di mahkamah AS. – Reuters

BERITA BERKAIT
POPULAR