
Perdana Menteri Bulgaria Kiril Petkov, kalah tipis dalam undi tidak percaya berjalan keluar dari Parlimen di Sofia. - Gambar Reuters
Kerajaan Bulgaria tumbang susulan undi tidak percaya di Parlimen, meletakkan negara Kesatuan Eropah (EU) yang pro-Barat ke dalam kegawatan politik di tengah-tengah perang Russia-Ukraine dan inflasi yang melonjak.
Ahli Parlimen pembangkang menggulingkan kerajaan Perdana Menteri, Kiril Petkov – yang mengambil alih kuasa enam bulan lalu – dengan 123-116 undi selepas pakatan pemerintah kehilangan majoritinya berhubung pertikaian mengenai perbelanjaan bajet dan sama ada Bulgaria perlu membuka kunci penyertaan Macedonia Utara ke dalam EU.
Petkov, seorang graduan Harvard berusia 42 tahun yang telah berikrar untuk memerangi rasuah, telah mengambil pendirian pro-Eropah dan pro-Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang kuat sejak Russia menyerang Ukraine – pendirian yang luar biasa bagi sebuah negara yang secara tradisinya mesra terhadap Moscow.
Penganalisis meramalkan bahawa kerajaan baharu akan membawa dasar yang lebih neutral terhadap Russia.
“Undi ini hanya satu langkah kecil dalam cara yang sangat panjang. Apa yang mereka gagal faham ialah ini bukan cara untuk memenangi rakyat Bulgaria,” kata Petkov selepas undian.
Negara itu kini berdepan kemungkinan Pilihan Raya Umum keempat sejak April 2021, meletakkan risiko berjuta-juta euro daripada dana pemulihan EU dan rancangannya untuk menerima pakai euro pada 2024.
Keadaan itu juga mungkin menghalang usaha Bulgaria untuk mendapatkan aliran masuk gas asli yang stabil selepas Moscow memotong penghantaran bekalan ke negara itu, yang hampir bergantung sepenuhnya kepada gas Russia, kerana keengganan Sofia untuk membayar dalam rubel.
Petkov telah menolak sebarang rundingan gabungan dengan parti pembangkang dalam dewan, tetapi akan meminta ahli Parlimen supaya ‘belot’ dan memberi sokongan mencukupi kerajaan kerajaan baharu dan mengelak pilihan raya.
Presiden Rumen Radev dikehendaki memanggil pilihan raya awal dalam tempoh dua bulan dan melantik pentadbiran sementara sekiranya Petkov gagal mengumpulkan majoriti untuk Kabinet baharu dan jika dua parti lain di Parlimen tidak dapat membentuk kerajaan. – Agensi