
Presiden AS, Joe Biden dan Presiden Russia Vladimir Putin mengadakan pertemuan di Geneva, Switzerland pada 16 Jun 2021. - Gambar AP
Kementerian Luar Rusia memanggil Duta Besar Amerika Syarikat (AS) John Sullivan untuk memberitahunya bahawa kenyataan Presiden Joe Biden terhadap Presiden Russia Vladimir Putin, mendorong hubungan dua hala ke ambang kehancuran.
Presiden Biden minggu lalu berkata Putin adalah “penjenayah perang” kerana menghantar puluhan ribu tentera ke Ukraine.
“Kenyataan seperti itu daripada Presiden Amerika, tidak layak untuk seorang negarawan berpangkat tinggi, meletakkan hubungan Russia-AS di ambang keretakan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Kremlin sebelum ini menyifatkan komen itu sebagai “penghinaan peribadi” terhadap Putin.
Kementerian itu juga memberitahu Sullivan bahawa tindakan bermusuhan terhadap Russia akan menerima “tindak balas yang tegas”.
Russia menghantar puluhan ribu tentera ke Ukraine pada 24 Februari dalam apa yang dipanggil operasi khas untuk menghapuskan pihak yang digelarnya ‘nasionalis berbahaya’.
Tentera Ukraine telah melancarkan tentangan keras terhadap Russia dan Barat turut mengenakan sekatan menyeluruh ke atas Moscow dalam usaha untuk memaksanya berundur, namun sehingga hari ini masih gagal. – Reuters