
Pembuat dasar boleh mengalih tumpuan mereka daripada mengurangkan penggunaan kepada meningkatkan pengeluaran, kata Bank Dunia. - Gambar agensi
Ketika bank pusat di seluruh dunia secara serentak menaikkan kadar dasar semalaman (OPR – kadar faedah) sebagai tindak balas kepada inflasi, dunia mungkin menuju ke arah kemelesetan global pada 2023, Bank Dunia memberi amaran pada Khamis (15 September).
Bank-bank pusat di seluruh dunia telah menaikkan kadar OPR kepada tahap yang tidak dilihat sejak lima dekad yang lalu – trend yang mungkin berterusan sehingga tahun depan, kata Bank Dunia dalam satu kajian baharu, lapor Xinhua.
Namun trajektori kenaikan kadar faedah yang dijangka pada masa ini dan tindakan dasar lain mungkin tidak mencukupi untuk menurunkan semula inflasi global ke paras yang dilihat sebelum wabak, kata kajian itu.
Pelabur menjangkakan bank pusat akan menaikkan OPR global kepada hampir 4 peratus menjelang 2023 – peningkatan lebih daripada dua mata peratusan berbanding purata 2021 mereka, menurut kajian itu.
“Jika ini disertai dengan tekanan pasaran kewangan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global akan perlahan kepada 0.5 peratus pada 2023 – penguncupan 0.4 peratus dari segi per kapita yang akan memenuhi definisi teknikal kemelesetan global,” lapor kajian itu.
Pemangku Naib Presiden Bank Dunia untuk Pertumbuhan Saksama, Kewangan dan Institusi, Ayhan Kose, menyatakan bahawa oleh kerana kenaikan OPR adalah segerak merentas negara, mereka boleh “bersama-sama menggabungkan” usaha mengetatkan situasi kewangan dan meningkatkan kelembapan pertumbuhan global.
“Penggubal dasar dalam pasaran baru muncul dan ekonomi membangun perlu bersedia untuk menguruskan potensi limpahan daripada pengetatan segerak di peringkat global,” kata Kose.
Rentetan krisis kewangan dalam pasaran baharu muncul dan ekonomi membangun akan membahayakan mereka dalam tempoh panjang, menurut kajian itu.
“Kebimbangan mendalam saya ialah trend ini akan berterusan, dengan akibat berpanjangan yang memusnahkan orang ramai dalam pasaran baharu muncul dan ekonomi membangun,” kata Presiden Bank Dunia, David Malpass.
“Untuk mencapai kadar inflasi yang rendah, kestabilan mata wang dan pertumbuhan yang lebih pantas, pembuat dasar boleh mengalih tumpuan mereka daripada mengurangkan penggunaan kepada meningkatkan pengeluaran,” kata Malpass.
“Dasar harus berusaha untuk menjana pelaburan tambahan dan meningkatkan produktiviti dan peruntukan modal, yang penting untuk pertumbuhan dan pengurangan kemiskinan,” tambah Malpass. – Agensi