Kemuncak gelombang kedua di Indonesia bermula, 125,396 positif minggu ini

Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Indonesia hari ini mengumumkan negara itu telah memasuki kemuncak gelombang kedua pandemik Covid-19 dengan lebih 120,000 kes positif dalam tempoh seminggu.

Jurucakap pasukan itu Wiku Adisasmito berkata puncak gelombang pertama berlaku pada Januari lalu apabila merekodkan 89,902 kes positif dalam tempoh seminggu.

“Namun pada minggu ini sahaja, kes positif yang dicatatkan adalah jauh lebih tinggi iaitu sebanyak 125,396 kes,” katanya.

Hari ini sahaja negara itu merekodkan kes harian tertinggi dengan 21,807 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam, dan 467 kematian menjadikan jumlah pesakit yang meninggal dunia kepada 58,491 orang.

Secara keseluruhannya Indonesia merekodkan 2,178,272 kes positif sejak kes pertama dikesan Mac tahun lalu – tertinggi di Asia Tenggara.

Minggu lalu negara keempat paling ramai penduduk di dunia itu merekodkan jangkitan harian tertinggi dengan 21,345 kes baharu.

Ini menunjukkan gelombang kedua lonjakan Covid-19 di Indonesia sedang berlaku, kata Wiku hari ini.

Pasukan petugas memaklumkan bahawa gelombang pertama memuncak dalam tempoh 13 minggu dengan kenaikan 283 peratus kes positif dari arah aliran terendah.

Sementara itu, pada gelombang kedua ini, lonjakan daripada trend terendah mencecah 381 peratus atau hampir lima kali ganda dalam masa enam minggu.

“Lonjakan kes mula berlaku seminggu selepas cuti sambutan Aidilfitri, Mei lalu. Pada awalnya, kenaikan itu dianggap normal dan tidak terlalu ketara.

“Tetapi masuk minggu keempat setelah percutian, kenaikan melonjak tajam dan berterusan selama tiga minggu hingga mencapai puncak kedua minggu lalu,” kata Wiku.

Katanya, lonjakan kes baharu yang berlaku sekarang juga disebabkan oleh munculnya varian baharu dan diburukkan lagi oleh pergerakan masyarakat yang tinggi.

“Keadaan ini menyebabkan kesan percutian berlangsung hingga minggu keenam dan kemungkinan akan kekal hingga minggu kelapan,” katanya.

Pasukan itu juga melaporkan tiga wilayah iaitu Jakarta, Jawa Barat, dan Jawa Tengah, diikuti oleh Jawa Timur, menyumbang kepada peningkatan kes pada gelombang pertama dan kedua.

Sementara itu, Kementerian Penyelaras Pembangunan Kemanusiaan dan Budaya memaklumkan jumlah jangkitan Covid-19 di kalangan kanak-kanak semakin meningkat di seluruh republik itu.

“Jumlah kes Covid-19 di kalangan kanak-kanak di Jawa Barat memang tertinggi iaitu sebanyak 45,450, diikuti oleh Riau dengan 9,224 kes, Jawa Tengah (6,654 kes), Sumatera Barat (6.037 kes), dan Kalimantan Timur (5,774 kes).

Jawa Barat turut merekodkan kematian tertinggi di kalangan kanak-kanak dengan 61 kes, sementara di wilayah lain di bawah 50 kes, kata kementerian itu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR