Kematian Ratu Elizabeth pendorong perdamaian keluarga diraja Britain

September 11, 2022 · Dunia

Kematian Ratu Elizabeth II mungkin boleh membantu memulihkan semula hubungan antara Putera Harry dan isterinya Meghan Markle dan seluruh keluarga diraja Britain, yang retak, sebelum kedua-duanya melucutkan gelaran diraja dan berpindah ke Amerika Syarikat (AS).

Kisah Putera Harry dan isteri Amerikanya yang sanggup melepaskan gelaran “Yang Mulia” kembali menjadi perbualan apabila pada Sabtu, beliau kelihatan berjalan beriringan dengan abangnya Putera William – kini pewaris takhta bergelar Prince of Wales – dan isteri Kate Middleton – Princess of Wales.

Putera Harry dan Meghan yang dalam lawatan ke Britain bagi memenuhi beberapa acara persendirian apabila permaisuri meninggal dunia pada Khamis, bertemu semula dengan Putera William dan Kate di Istana Windsor pada Sabtu. Ia merupakan penampilan awam pertama mereka sejak berpindah ke AS pada awal 2020.

Semuanya berpakaian hitam berkabung, bersama-sama melihat ke arah bunga yang ditinggalkan orang ramai, sekali gus memberi sedikit maklumat berhubung keadaan hubungan mereka.

Tetapi keputusan keempat-empatnya – yang pernah digelar “the fab four” ketika hubungan mereka rapat suatu ketika dahulu – untuk melangkah keluar bersama-sama di hadapan kamera sama sekali menunjukkan ada kemajuan dalam hubungan yang retak teruk.

Wartawan diraja United Kingdom (UK) berkata Putera William menghulurkan tangan untuk memulihkan kembali hubungan kepada adik lelakinya, yang terus mengkritik keluarga diraja itu sejak meninggalkanbarisan hadapan tugas diraja Britain.

Hanya dua hari sebelum itu (Jumaat), ceritanya jauh berbeza apabila Putera Harry, 37 tahun, yang kelihatan sebak, tiba bersendirian dengan kenderaan ke estet Balmoral di mana Ratu Elizabeth meninggal dunia pada Khamis.

Putera William dan beberapa ahli keluarga terdekat yang lain, tidak termasuk Kate, sebelum ini muncul bersama dalam sebuah kereta, tetapi juga tiba terlalu lewat sebelum Ratu Elizabeth meninggal dunia.

Pakar diraja Richard Fitzwilliams berkata ketibaan secara berasingan pada Khamis dan Jumaat menunjukkan adik-beradik itu telah menjadi “terasing”.

Fitzwilliams berhujah bahawa Putera Harry dan Meghan dilihat telah “melakukan banyak kerosakan kepada keluarga diraja dalam beberapa bulan kebelakangan ini” dengan tindakan mereka menentang monarki.

“Untuk masa depan, bola ada di gelanggang mereka dan ia bergantung bagaimana mereka mahu bermain,” tambahnya.

Laluan berbeza

Selepas ibu kedua-duanya Puteri Diana meninggal dunia dalam kemalangan kereta di Paris pada 1997, mereka mendapat perhatian dan simpati ketika berjalan di belakang keranda ibu mereka ketika pengebumiannya.

Putera William berusia 15 tahun manakala Putera Harry baharu 12 tahun ketika kematian Puteri Diana.

Mereka kelihatan berkongsi ikatan rapat apabila menginjak dewasa, tidak terganggu walaupun setelah Putera William berkahwin dengan teman wanita lamanya Kate pada 2011 dan memulakan keluarga.

Tetapi hubungan semakin memburuk berikutan perkahwinan bekas kapten Tentera British, Putera Harry yang juga bekas kapten tentera British pada 2018 dengan Meghan – seorang pelakon televisyen Amerika yang berdarah campuran – di Windsor pada 2018.

Dalam satu temu bual pada 2019, Putera Harry berkata beliau dan abangnya “berada di jalan yang berbeza”. Setahun kemudian, beliau dan Meghan mengumumkan perpindahan mereka ke AS.

Temu bual Oprah Winfrey yang meletup pasangan itu pada Mac 2021 menyaksikan Meghan secara terbuka mendakwa Kate telah membuatnya menangis.

Dakwaan yang paling merosakkan, tercetus apabila ada anggota kerabat diraja Britain yang tidak dinamakan telah membuat spekulasi berhubung warna kulit anak Putera Harry dan Meghan pada masa depan.

Putera William bertindak balas kemudian dengan memberitahu seorang wartawan bahawa kerabat diraja “bukan keluarga yang rasis”.

Hubungan adik-beradik itu kelihatan kekal tidak mesra ketika mereka bersatu semula tahun lalu untuk menyingkap patung ibu mereka.

Mereka tidak bertemu semasa sambutan Jubli Platinum Ratu Elizabeth pada Jun.

Baru-baru ini, Meghan memberitahu majalah The Cut bahawa beliau kini berasa “bebas” untuk menceritakan kisahnya sendiri, yang sesetengah orang melihat sebagai ancaman kepada monarki.

Tak terduga

Bagaimanapun sejak kematian Ratu Elizabeth, terdapat tanda-tanda tentatif kemungkinan hubungan itu semakin pulih.

Walaupun Putera Harry memberitahu pengacara televisyen terkenal, Oprah Winfrey bahawa abang dan bapanya “terperangkap” dalam monarki, Raja Charles III kelihatan terbuka untuk berdamai dengan anak lelakinya yang mengasingkan diri, ketika memberi ucpan sulungnya kepada negara setelah diangkat sebagai Raja Britain.

Putera Harry dan Meghan – sebelum ini Duke dan Duchess of Sussex – popular dalam kalangan generasi muda, tetapi mungkin berdepan risiko besar sekiranya mengkritik monarki secara terbuka, terutama pada masa negara sedang berkabung.

“Tidak ada keraguan bahawa Sussexes akan menarik banyak perhatian sekarang,” kata Fitzwilliams, dengan pendapat umum British sudah tegas di pihak keluarga yang lain.

Namun, penampilan bersama pada Sabtu dengan Putera William dan Kate, menjadi putera dan puteri Wales selepas Raja Charles menaiki takhta, mungkin menandakan lembaran baharu hubungan keluarga itu kembali pulih.

Tetapi dengan Putera Harry menjangkakan untuk mengeluarkan memoir kontroversialnya menjelang akhir tahun ini, keadaan juga boleh berubah dengan mudah.

“Jelas sekali, mereka akan menghadiri pengebumian. Lebih daripada itu, adalah mustahil untuk mengatakan,” kata Fitzwilliams.

“Jika dalam memoirnya Harry berhenti menjadi kritikal, itu berbeza.” – AFP

Berita berkaitan
Bicara kes pelakon Hafidz Roshidi cedera bekas isteri ditetapkan 6 Feb
October 4, 2023· Isu semasa
Isteri dan anak bekas MB Negeri Sembilan UMNO antara calon PRN
July 21, 2023· Politik
Dalam pembelaan kes saman, Rosmah kata barang kemas diberi tanpa diminta
June 7, 2023· Isu semasa
Kes rasuah Guan Eng, isteri, rakan niaga pindah ke Mahkamah Tinggi
April 13, 2023· Isu semasa
Popular
Jeddah banjir besar selepas 13 tahun
November 24, 2022
Suri rumah mengaku zina kena 100 sebatan, pasangan hanya 15 kali
January 14, 2022
Lagi Dunia terkini
Konflik Gaza: Angka korban mangsa kekejaman Zionis meningkat 14,532 orang
November 23, 2023 · Dunia
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023 · Dunia
Israel melakukan jenayah perang, dakwa Menteri Luar Jordan
November 6, 2023 · Dunia
Internet dan telefon tidak dapat diakses di utara Semenanjung Gaza: Laporan
October 30, 2023 · Dunia
Letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Tak Bai
October 21, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] UMNO sepatutnya tadbir negara bersama PN, bukan dengan DAP
12 jam lalu
[VIDEO] Litar lumba projek terbengkalai BN, bukan projek Sanusi
21 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok