Kematian pertama akibat varian Omicron di Britain

Perdana Menteri United Kingdom, Boris Johnson mengesahkan varian baharu Covid-19, Omicron, sudah mengorbankan satu nyawa di Britain, tatkala negara itu memperhebatkan suntikan dos penggalak bagi mencegah penularan berterusan varian tersebut.

Britain merupakan salah satu negara paling teruk terjejas akibat krisis kesihatan global sejak tahun lalu dan negara pertama mengesahkan kes kematian akibat jangkitan mutasi varian Omicron.

Ketika ini, Johnson memaklumkan varian Omicron merangkumi hampir 40 peratus kes di ibu negara Britain serta kemasukan ke hospital terus meningkat.

“Dukacita dimaklumkan, terdapat seorang pesakit disahkan meninggal dunia akibat dijangkiti Omicron,” jelasnya sehari selepas Britain memberi amaran sedang berdepan ‘gelombang besar’ jangkitan.

Semalam, Britain mengeluarkan amaran tersebut dengan meningkatkan Tahap Amaran Covid-19 kebangsaan susulan lonjakan kes dan tahap jangkitan pandemik itu.

Menerusi satu ucapan, Johnson memaklumkan tindakan kecemasan diperlukan untuk mengelakkan hospital daripada dipenuhi pesakit dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Terdahulu, satu kajian dunia nyata bagaimana dua dos vaksin Covid-19 mampu melawan ancaman Omicron, menunjukkan penurunan ketara perlindungan terhadap kes bergejala yang disebabkan varian baharu dan pantas merebak itu.

Tetapi kajian yang diterbitkan oleh saintis kerajaan Britain pada 10 Disember lalu, juga menunjukkan bahawa dos penggalak memberikan pertahanan yang cukup besar terhadap Omicron.

Saintis berkenaan turut memberi pendapat lengkap berkaitan betapa cepatnya varian Omicron boleh merebak dalam populasi yang telah lengkap divaksinasi, seperti di England, namun memberi amaran varian itu boleh mengatasi Delta pada pertengahan Disember dan, sekiranya tiada sebarang langkah berjaga-jaga diambil ia akan menyebabkan kes Covid-19 meningkat.

Amaran tersebut diperkuatkan oleh kajian pemodelan komputer di England semalam, yang menunjukkan, walaupun dalam populasi yang mempunyai tahap imuniti yang tinggi, Omicron boleh mengganggu kehidupan dan membebankan hospital dengan ketara.

Sementara itu, semua golongan dewasa layak untuk mendapatkan dos penggalak Covid-19 bermula hujung bulan ini, apabila kerajaan Britain melanjutkan tempoh akhir suntikan selama satu bulan lagi.

Namun, permintaan yang tinggi mengakibatkan laman sesawang bagi menempah vaksin di Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) mengalami kesesakan dan pengguna yang memohon kit ujian saringan memberitahu bahawa alat tersebut sudah kehabisan stok.

Kerisauan terhadap gelombang baharu ini semakin memuncak kerana terdapat maklumat yang diterima menjelaskan suntikan dua dos vaksin lengkap kurang berkesan terhadap jangkitan varian baharu itu berbanding tiga dos suntikan.

Sehingga semalam, hampir 1,239 kes dilaporkan melibatkan varian Omicron dan saintis berpendapat angka itu akan terus berganda setiap dua hingga tiga hari.

Kadar vaksinasi di Britain adalah tinggi, dengan lebih 81 peratus daripada 46.7 juta populasinya berumur 12 tahun ke atas sudah lengkap divaksin dua dos manakala hampir 40 peratus daripada 23 juta populasinya sudah menerima suntikan dos penggalak. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR