Kematian di AS cecah 900,000

Didorong oleh varian Omicron yang pantas menular, angka kematian akibat komplikasi Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) kini mencecah 900,000, menurut data dari Universiti Johns Hopkins, kurang dua bulan selepas negara itu melepasi 800,000 kematian.

Angka yang dicatat pada Jumaat menyusul 13 bulan usaha vaksinasi AS dibelenggu maklumat salah dan perbalahan politik, walaupun suntikan itu terbukti selamat dan sangat berkesan dalam mencegah penyakit serius dan kematian.

“Ia adalah angka yang tinggi secara astronomi,” kata Dr Ashish K Jha, Dekan Sekolah Kesihatan Awam Universiti Brown.

“Jika anda memberitahu kebanyakan rakyat Amerika dua tahun lalu ketika wabak ini semakin berleluasa bahawa 900,000 rakyat Amerika akan mati dalam beberapa tahun akan datang, saya fikir kebanyakan orang tidak akan mempercayainya.”

Walaupun gelombang ganas Omicron meredakan cengkamannya di AS – dengan kes baharu Covid-19 menurun di 49 daripada 50 negeri di negara itu – purata kematian dicatat adalah lebih daripada 2,400 sehari, tahap tertinggi sejak musim sejuk yang lalu.

AS merekodkan angka kematian Covid-19 tertinggi berbanding negara-negara lain di dunia. Bagaimanapun, jumlah sebenar kematian secara langsung atau tidak langsung akibat Covid-19 dianggap jauh lebih tinggi.

“Kita telah memandang rendah wabak ini dan kita kurang bersedia untuk melindungi diri,” kata Dr Joshua M Sharfstein, seorang profesor kesihatan awam di Sekolah Kesihatan Awam Johns Hopkins Bloomberg.

Memandangkan Covid-19 telah menjadi salah satu daripada tiga penyebab utama kematian di AS, di sebalik jantung dan kanser, pakar kesihatan kecewa kerana pembuat dasar AS dilihat kehabisan idea dalam memastikan orang ramai mendapatkan suntikan vaksin.

Sehingga kini, 64 peratus rakyat Amerika, atau kira-kira 212 juta orang, telah diberi vaksin sepenuhnya, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.

Apabila program vaksin dilancarkan di AS pada pertengahan Disember 2020, jumlah kematian sekitar 300,000. Ia melonjak kepada 600,000 pada pertengahan Jun 2021 dan 700,000 pada 1 Oktober, sebelum mencapai 800,000 pada 14 Disember.

100,000 kematian terkini merangkumi kedua-dua varian Delta dan Omicron, yang terakhir mula merebak dengan cepat pada Disember dan dengan pantas menjadi dominan di AS.

Walaupun Omicron telah terbukti kurang berkemungkinan menyebabkan jangkitan teruk berbanding Delta, lebih ramai orang yang dijangkiti Omicron menyumbang kepada jumlah kematian yang tinggi. – Rauters

 

BERITA BERKAIT
POPULAR