Kematian akibat serangan Zionis Israel meningkat kepada 181 orang

Di sebalik kecaman masyarakat antarabangsa, rejim pengganas Israel terus melancarkan serangan udara tanpa henti ke atas rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat yang diduduki secara haram sejak 1967.

Sehingga Ahad, jumlah kematian akibat serangan rejim Zionis itu di Semenanjung Gaza sahaja meningkat kepada 181 orang, termasuk 31 wanita dan 52 kanak-kanak, lapor agensi berita Anadolu.

Serangan dan pengeboman ke atas Semenanjung Gaza bermula Isnin lalu berterusan hingga ke malam tadi dan hari ini.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza berkata, 26 rakyat Palestin, termasuk 10 wanita dan lapan kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara rejim pengganas Israel sejak malam tadi.

Jumlah kecederaan meningkat kepada 1,225 orang, kata kementerian itu.

Sementara itu, pegawai perhubungan Kementerian Arab dan Turki, Enver Ataullah berkata, serangan itu menyebabkan kemusnahan besar-besaran, dan jumlah kematian menyebabkan bilik mayat mula penuh.

Ketegangan mula memuncak di Baitulmaqdis Timur hingga ke Semenanjung Gaza selepas pejuang Palestin berikrar mengambil tindakan balas terhadap pencerobohan Masjid Al-Aqsa dan penempatan Sheikh Jarrah oleh rejim Israel.

Rejim Israel menduduki Baitulmaqdis Timur, di mana terletaknya Masjid Al-Aqsa, secara haram ketika perang Arab-Israel pada 1967. Rejim itu kemudian memperluaskan penjajahan ke atas seluruh Baitulmaqdis pada 1980 sedangkan masyarakat antarabangsa tidak mengiktirafnya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR