Keganasan rejim Israel meningkat di bawah Perdana Menteri baharu

Keganasan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin semakin memuncak sejak kerajaan baharu ditubuhkan dengan Naftali Bennett sebagai Perdana Menterinya, kata Kementerian Luar Palestin.

Terdapat keganasan yang lebih besar dan banyak oleh penjajah Israel terhadap rakyat Palestin sejak pemerintah Israel yang baharu menjalankan tugas, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kementerian itu memaklumkan bahawa serangan pendatang haram Yahudi terhadap rakyat Palestin meningkat di bawah pemerintahan baharu, termasuk serangkaian tindakan oleh pasukan keselamatan Israel (IDF) dan pendatang di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.

Minggu lalu, perjanjian gabungan baru antara lapan parti Israel ditandatangani dengan Naftali Bennett, pemimpin Parti Yamina sayap kanan, menjadi Perdana Menteri selama dua tahun diikuti oleh pemimpin parti sekutu, Yair Lapid selama dua tahun lagi.

Kenyataan itu juga mengkritik pentadbiran Amerika Syarikat (AS) kerana gagal memberi tekanan kepada Israel untuk menghentikan pencerobohan.

“Pentadbiran AS dan beberapa pihak antarabangsa lebih suka berdiam diri daripada memberikan tekanan kepada pemerintah Israel yang baharu untuk menghentikan pencerobohan,” kata kenyataan itu.

Kementerian Luar Palestin turut mengecam rancangan majlis penempatan Israel untuk mengadakan demonstrasi di Tebing Barat yang diduduki secara haram, terhadap apa yang mereka gambarkan sebagai pengembangan Palestin di kawasan C, sambil menambah bahawa Israel akan bertanggungjawab sepenuhnya atas serangan pendatang Yahudi dan IDF terhadap rakyat Palestin.

Di bawah Perjanjian Oslo 1995 antara Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, dibahagikan kepada tiga bahagian – Kawasan A, B, dan C – dengan kawasan C di bawah kawalan pentadbiran dan keselamatan Israel hingga perjanjian status akhir dicapai dengan rakyat Palestin.

Minggu lalu, Bennett mengatakan kerajaannya akan menyokong pembinaan penempatan di semua kawasan di Tebing Barat yang diduduki, termasuk kawasan yang diklasifikasikan sebagai kawasan C. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR