Keberkesanan vaksin lawan Omicron perlu lebih banyak kajian: WHO

Lebih banyak kajian perlu dijalankan bagi melihat sejauh mana vaksin berkesan dalam memberikan perlindungan terhadap varian Omicron yang sangat cepat merebak, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Peringatan itu diberikan badan tersebut selepas pengilang vaksin mula membangunkan suntikan generasi terbaharu bagi melawan varian tersebut.

Taklimat teknikal terbaharu oleh agensi kesihatan global itu bertujuan menjawab beberapa soalan penting yang tertangguh mengenai varian yang sangat bermutasi itu, yang pertama kali muncul pada November lalu.

Antaranya mengenai tahap serius, kebolehjangkitan dan keupayaan untuk mengelak vaksin. Ia juga menetapkan keutamaan bagi negara anggotanya.

Bagaimanapun, berhubung satu soalan utama sama ada vaksin baharu khusus untuk Omicron diperlukan ketika ini, agensi PBB itu tidak mempunyai jawapan segera.

“Penyelidikan lanjut diperlukan untuk lebih memahami potensi melepasi imun Omicron terhadap imuniti yang disebabkan vaksin dan jangkitan, serta tindak balas khusus Omicron terhadap vaksin,” katanya, hari ini menurut laporan Reuters.

Seorang pegawai WHO sebelum ini, berkata isu itu memerlukan penyelarasan global dan tidak boleh diserahkan hanya kepada pengilang untuk membuat keputusan.

Beberapa pembuat vaksin sudah membangunkan vaksin generasi akan datang, yang menyasarkan varian yang sangat menular itu, yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan dan Hong Kong.

Pada Isnin, Ketua Eksekutif Pfizer, Albert Bourla, berkata vaksin Covid-19 yang diolah semula, yang menyasarkan varian Omicron, kemungkinan besar diperlukan dan syarikatnya boleh menyediakan satu vaksin untuk dilancarkan menjelang Mac.

Pesaingnya, Moderna Inc juga sedang mengusahakan calon vaksin yang disesuaikan dengan varian Omicron, namun mungkin tidak sedia dalam tempoh dua bulan akan datang.

BERITA BERKAIT
POPULAR