Kawalan populasi Uighur satu jenayah China: Panel pakar London

China yang menghalang kelahiran dalam kalangan populasi Uighur di wilayah Xinjiang dianggap melakukan ‘pembunuhan beramai-ramai’ terhadap etnik minoriti Muslim itu, kata panel pakar London yang menyiasat dakwaan pelanggaran hak asasi manusia di wilayah itu.

Sembilan peguam dan pakar hak asasi manusia mengeluarkan pendapat mereka selepas mendengar dakwaan penyeksaan, rogol dan layanan tidak berperikemanusiaan pada dua sesi keterangan tahun ini.

Tribunal pakar bebas itu ditubuhkan atas permintaan Kongres Uighur Sedunia, kumpulan terbesar yang mewakili Uighur dalam buangan, yang melobi masyarakat antarabangsa untuk bertindak terhadap China atas dakwaan penderaan.

Beijing menolak tanggapan itu dan berkata kongres berkenaan “membuat bayaran untuk pembohongan, membeli khabar angin dan memberikan keterangan palsu dalam percubaan untuk mencipta alat politik bagi memburukkan China”.

“Tribunal yang dibentuk itu tidak mempunyai sebarang kelayakan undang-undang atau kredibiliti,” kata Kementerian Luar China sambil menggelar perbicaraan itu sebagai “satu sandiwara politik”.

Dalam laporan setebal 63 muka surat, panel itu berkata tiada bukti pembunuhan besar-besaran, di bawah undang-undang antarabangsa.

Tetapi panel itu berkata mereka berpuas hati tanpa keraguan munasabah Parti Komunis China (PKC) “berhasrat untuk memusnahkan sebahagian besar” minoriti Muslim Uighur di barat laut negara itu dan oleh itu “telah melakukan pembunuhan beramai-ramai”.

PKC menguatkuasakan “sistem langkah yang komprehensif untuk ‘mengoptimumkan’ penduduk di Xinjiang” bagi mengurangkan kadar kelahiran Uighur, termasuk pemandulan paksa, kawalan kelahiran dan pengguguran.

“Populasi Uighur pada masa depan akan lebih kecil hasil tindakan itu. Ini akan mengakibatkan kehancuran sebagian Uighur,” tambahnya.

“Selaras dengan Konvensyen Genosid penggunaan perkataan ‘memusnahkan’ memenuhi tindakan terlarang yang diperlukan untuk bukti pembunuhan beramai-ramai.”

China telah mengenakan sekatan ke atas Ketua Panel Geoffrey Nice, yang sebelum ini turut mendakwa bekas pemimpin Serbia, Slobodan Milosevic kerana jenayah perang di tribunal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di The Hague.

Beliau dan ahli panel yang lain mengakui bahawa keterangan diperoleh daripada individu yang menentang Republik Rakyat China (PRC) dan PKC.

Tetapi mereka juga meneliti beribu-ribu halaman bukti dokumentari daripada penyelidik bebas dan organisasi hak asasi manusia. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR