Kapal perang utama Russia tenggelam, Moscow bertindak balas

Letupan kuat kedengaran di Kyiv pada Jumaat dan pertempuran berterusan di timur selepas Ukraine mengaku bertanggungjawab atas tenggelamnya kapal perang utamanya Laut Hitam angkatan laut Russia, ketika Moscow bersedia memulakan serangan baharu yang berkemungkinan menentukan keputusan konflik yang bermula 24 Februari lalu.

Serangan itu antara yang paling ketara di wilayah ibu negara Ukraine sejak tentera Russia berundur dari kawasan itu awal bulan ini sebagai persediaan menghadapi pertempuran di selatan dan timur.

Terdahulu, Russia mengesahkan kapal perang utamanya di Laut Hitam, Moskva, tenggelam pada Khamis (14 April 2022) selepas berlaku letupan dan kebakaran, yang didakwa oleh Ukraine berpunca daripada serangan peluru berpandu mereka.

Kapal utama Russia era Kesatuan Soviet tenggelam ketika ia ditunda ke pelabuhan dalam cuaca ribut, lapor agensi berita Russia yang memetik kenyataan Kementerian Pertahanan.

Russia berkata lebih 500 anak kapal telah dipindahkan selepas berlaku letupan. Kyiv mendakwa menembak kapal itu dengan peluru berpandu Neptun buatan Ukraine.

Russia, yang tidak mengakui serangan Ukraine menjadi punca kapal utamanya tenggelam berkata insiden berkenaan masih dalam siasatan.

“Ketika kapal penjelajah Moskva sedang ditunda ke pelabuhan, kapal itu hilang kestabilan akibat kerosakan pada badannya akibat kebakaran,” kata Kementerian Pertahanan.

“Dalam keadaan laut yang bergelora, kapal itu karam,” katanya.

Insiden itu berlaku ketika tentera laut Russia meneruskan pengeboman ke atas bandar-bandar Ukraine di Laut Hitam hampir 50 hari selepas ia melancarkan pencerobohan. Penduduk Odesa dan Mariupol, di Laut Azov yang bersebelahan, telah bersiap sedia untuk serangan baharu Russia.

Amerika Syarikat berkata mereka tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk menentukan sama ada Moskva tenggelam kerana terkena peluru berpandu.

“(Tetapi) sudah tentu, cara ini berlaku, ia satu tamparan besar kepada Russia,” kata Penasihat Keselamatan Negara Jake Sullivan.

Tentera Rusia telah berundur dari beberapa bahagian di utara Ukraine selepas gagal menawan ibu kota Kyiv. Ukraine dan sekutu Baratnya berkata Moscow sedang menempatkan semula tenteranya untuk serangan baharu di wilayah timur Donbas.

Russia melancarkan serangannya bagi menghalang Ukraine daripada menyertai pakatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Tetapi pencerobohan itu telah mendorong Finland, yang berkongsi sempadan panjang dengan Russia, dan Sweden berdekatan untuk mempertimbangkan untuk menyertai pakatan yang diketuai AS itu.

Moscow memberi amaran kepada NATO pada Khamis bahawa jika Sweden dan Finland menyertai, Russia akan menggunakan senjata nuklear dan peluru berpandu hipersonik di kawasan enklaf Russia di Laut Baltik, di tengah-tengah Eropah.

Mengulas mengenai pengunduran tentera Russia, Pengarah CIA Williams Burns berkata ancaman Russia yang berpotensi menggunakan senjata nuklear di Ukraine tidak boleh dipandang ringan, tetapi agensi itu tidak melihat banyak bukti praktikal yang menguatkan kebimbangan itu.

Tentera laut Russia melancarkan peluru berpandu penjelajahnya ke Ukraine dan aktiviti Laut Hitam adalah penting untuk menyokong operasi darat di selatan dan timur, di mana ia berusaha untuk merampas kawalan penuh ke atas pelabuhan Mariupol, sasaran utamanya di Donbas.

Russia berkata pada Rabu lebih 1,000 marin Ukraine dari salah satu unit yang masih bertahan di Mariupol telah menyerah diri. Pegawai Ukraine bagaimanapun enggan mengulas.

Jika ditawan, Mariupol akan menjadi bandar besar pertama yang jatuh ke tangan tentera Russia sejak mereka menyerang, membolehkan Moscow mengukuhkan koridor darat antara kawasan timur Donbas yang dikuasai pemisah dan wilayah Crimea yang dirampas pada 2014.

Ukraine berkata, beribu-ribu orang dipercayai terbunuh di Mariupol, di mana usaha sedang dijalankan untuk memindahkan orang awam. Pada Khamis, Kementerian Pertahanan Russia berkata 815 orang telah dipindahkan dari bandar itu dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Pegawai Ukraine telah lama memberi amaran bahawa Russia sedang mengumpulkan tentera untuk serangan di bahagian timur, termasuk di Kharkiv, bandar kedua terbesar di Ukraine.

Tetapi Timbalan Menteri Pertahanan Ukraine, Hanna Malyar, berkata pada Khamis bahawa Russia juga menempatkan tentera di sepanjang sempadan negara itu dengan Belarus dan wilayah Transdniestria yang memisahkan diri daripada Moldova.

Moldova secara berasingan menuduh tentera Russia cuba merekrut penduduknya Moldova. Bagaimanapun, pihak berkuasa di Transdniestria, bersempadan dengan selatan Ukraine, menafikan Rusia sedang menyediakan pasukan di sana.

Moscow berkata Ukraine telah melakukan serangan helikopter ke atas wilayah Bryansk Russia, yang terbaru daripada beberapa serangan rentas sempadan yang dikatakan oleh Kremlin boleh mencetuskan serangan balas terhadap Kyiv.

Tujuh orang cedera dalam serangan Bryansk, kata pegawai Russia. Satu lagi wilayah, Belgorod, berkata sebuah kampung di situ diserang tetapi tiada sesiapa yang cedera.

BERITA BERKAIT
POPULAR