‘Kami perlukan makanan’ – Rakyat Palestin mohon bantuan

Sambil mendukung anaknya yang baharu berusia dua minggu, Hasan, Suheir al-Arbeed merenung masa depannya di sebalik tingkao Sekolah Jadeeda yang dikendalikan UNRWA di Gaza, selepas rumahnya musnah dalam serangan rejim Israel. - Gambar Al-Jazeera

Sambil memeluk bayi perempuannya yang baru lahir, Hasan, di lantai sebuah kelas di Gaza, tatkala lima anaknya yang lain masuk dan keluar, Suheir al-Arbeed menyenaraikan keperluan asas yang mereka perlukan.

“Kami perlukan makanan, pakaian, selimut, tilam dan susu. Badan saya sakit akibat tidur di atas lantai yang dialas lapik nipis.

“Saya perlu bertanya kepada orang lain untuk mendapatkan lampin pakai buang untuk Hasan. Saya cuba menyusukannya tapi dia tetap lapar dan menangis,” katanya yang baru melahirkan Hasan dua minggu lalu

Suheir yang berusia 30 tahun adalah antara ribuan keluarga rakyat Palestin yang tinggal di utara dan timur Semenanjung Gaza, yang terpaksa meninggalkan rumah mereka Khamis lalu, susulan serangan udara rejim Zionis Israel.

Keluarga itu terpaksa berjalan dalam gelap beberapa kilometer sebelum tiba di Sekolah al-Jadeeda di bandar Gaza, salah satu sekolah yang dikendalikan Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

“Tidak ada kereta atau pengangkutan awam,” katanya yang sebelum itu tinggal di Shujaiyah, timur laut Gaza.

Bagi Umm Jamal al-Attar pula, ini bukanlah kali pertama dia dan keluarganya terpaksa mencari tempat perlidungan.

Sebelum ini, dia telah menghabiskan masa 40 hari di pusat perlindungan ketika Semenanjung Gaza diserang rejim Israel pada 2014 yang membunuh lebih 2,100 rakyat Palestin, termasuk 1,462 orang awam dalam tempoh 50 hari.

Menceritakan kisahnya beberapa hari lalu, dia, suaminya dan limanya berlari keluar dari rumah mereka di Atatra di utara Beit Lahia, selepas rumah jirannya, Lamya al-Attar, menjadi sasaran peluru berpandu rejim Zionis.

Katanya, Lamya bersama tiga anaknya – Amir, Islam dan Mohammed – yang tinggal di tingkat dua sebuah apartment terbunuh dalam serangan itu.

“Israel mengebom kami dengan peluru berpandu. Mereka juga menembak sejenis gas, katanya.

Sebuah sekolah di bandar Gaza yang dijadikan pusat perlindungan rakyat Palestin dikendalikan oleh Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA). – Gambar Al-Jazeera

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 38,000 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza kini hilang tempat tinggal dan mendapatkan perlindungan di 48 sekolah dikendalikan UNRWA di seluruh wilayah yang terkepung itu.

Jumlah itu termasuk sekurang-kurangnya 2,500 orang yang hilang tempat tinggal apabila rumah mereka musnah sama sekali dibom rejim Zionis.

Serangan ke atas Semenanjung Gaza oleh rejim Zionis masuk hari kelapan dan setakat ini lebih 201 rakyat Palestin, termasuk 58 kanak-kanak dan 35 wanita, terbunuh, sementara 1,300 lagi cedera.

Ketegangan memuncak minggu lalu apabila umat Islam yang berkumpul di Masjid Al-Aqsa bagi menunjukkan bantahan terhadap langkah mengusir penduduk di penempatan Sheikh Jarrah, diserang polis dan askar rejim Israel.

Susulan itu, Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) memberi tempoh kepada rejim Israel untuk keluar dari tanah suci.

Hamas kemudian melancarkan lebih 1,200 roket ke arah Israel selepas rejim itu terus melakukan penindasan ke atas penduduk Palestin. – Agensi

 

pix2

 

POPULAR