Kadar jangkitan mingguan Covid-19 di Singapura meningkat

Sebanyak 3,035 jangkitan baharu Covid-19 dan 12 kes kematian dilaporkan di Singapura dalam tempoh 24 jam semalam, kata Kementerian Kesihatan (MOH) negara itu.

Pada masa sama, MOH memaklumkan kadar jangkitan mingguan turut meningkat daripada 0.81 pada Jumaat kepada 0.83 semalam, namun kekal di bawah angka 1, empat hari berturut-turut.

Kadar jangkitan merujuk kepada nisbah kes komuniti pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan yang melebihi satu menunjukkan bahawa jumlah kes mingguan baharu Covid-19 masih meningkat.

MOH berkata 12 pesakit yang meninggal dunia membabitkan individu berusia 60 hingga 98 tahun, semuanya turut menghidap beberapa penyakit lain.

Jumlah baharu itu menjadikan keseluruhannya 480 kematian dilaporkan sejak awal tahun lalu, manakala kumulatif kes positif meningkat kepada 215,780 kes.

Secara keseluruhan, kadar penggunaan kemudahan di unit rawatan rapi (ICU) turut meningkat kepada 72.8 peratus semalam, berbanding 68.6 peratus pada Jumaat. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR