
Imej satelit menunjukkan Taufan Nanmadol dengan tiupan angin sehingga 168 batu sejam menghampiri pulau terpencil Minami Daito, di tenggara Okinawa, hari ini (18 September 2022). - Gambar AFP
Lebih empat juta penduduk Jepun diarah mencari perlindungan tatkala taufan paling kuat yang dijangka boleh memusnahkan rumah mula menghampiri kepulauan utama paling selatan, Okinawa, hari ini (18 September 2022).
Pakar kaji cuaca meramalkan Taufan Nanmadol boleh menjadi salah satu ribut tropika paling merosakkan yang melanda Jepun dalam beberapa dekad kebelakangan ini, membawa angin kuat dan banjir merentasi kebanyakan negara.
Perdana Menteri Fumio Kishida pada petang Ahad menggesa penduduk kawasan yang terjejas untuk “berpindah ke tempat yang selamat semasa ia masih peringkat rendah,” ketika beliau mengadakan mesyuarat dengan kakitangan pasukan kecemasan.
“Beri perhatian kepada maklumat cuaca dan maklumat pemindahan, jauhi tempat berbahaya seperti sungai, laluan air dan tempat yang berisiko berlaku tanah runtuh, dan berpindah tanpa teragak-agak jika anda merasakan bahaya walaupun sedikit.”
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) berkata taufan itu membawa tiupan angin sehingga 168 batu sejam berhampiran pulau terpencil Minami Daito, tenggara Okinawa.
Beberapa pulau kecil di selatan Jepun juga berada di bawah amaran tsunami petang Ahad selepas gempa bumi melanda Taiwan, menurut agensi penyiar nasional Jepun, NHK. Bagaimanapun, ianya kemudian ditarik balik.
Amaran Tahap 5, yang tertinggi pada skala amaran bencana Jepun, telah dikeluarkan kepada lebih 110,000 orang, menurut NHK, dengan perintah pemindahan Tahap 4 menjejaskan lebih empat juta orang di seluruh Kyushu, pulau paling barat daya Jepun.
Puluhan penerbangan dibatalkan atau dialihkan pada Ahad kerana cuaca buruk, menurut notis yang disiarkan oleh syarikat penerbangan utama Jepun, dan beberapa kawasan terputus bekalan elektrik. Perkhidmatan kereta api peluru ke Kyushu juga digantung, lapor media tempatan.
Ketua Unit Ramalan JMA Ryuta Kurora, emberitahu sidang media bahawa ribut “belum pernah terjadi” – termasuk ombak tinggi, taufan dan rekod hujan – boleh melanda wilayah itu.
Pada jam 4.45 petang waktu tempatan Ahad (3.45 petang waktu Malaysia), pusat taufan itu berada berhampiran Cape Sata, di hujung selatan Kyushu, kata JMA.
Pihak berkuasa sebelum ini menasihatkan penduduk supaya “sangat berhati-hati terhadap taufan, ombak tinggi, dan lonjakan ribut,” bersama-sama dengan tanah runtuh dan banjir. Ombak setinggi 14 meter (46 kaki) diramalkan pada Ahad di beberapa kawasan.
Angin kencang diramalkan berterusan sehingga Isnin di barat Jepun dan “mungkin meruntuhkan beberapa rumah” di Kyushu, agensi itu memberi amaran. “Jaga keselamatan anda sendiri secepat mungkin,” katanya.
Jepun kini berada dalam musim taufan, yang secara rutin membawa lebih daripada sedozen ribut setahun. Pada 2019, Taufan Hagibis menghasilkan rekod hujan yang menyebabkan banjir maut dan tanah runtuh di kawasan berpenduduk tinggi di utara Jepun, mengorbankan lebih 80 orang.
Saintis berkata pemanasan global meningkatkan kekuatan ribut, membawa kejadian cuaca yang lebih kerap dan teruk di seluruh dunia. Penyelidik juga mula mengaitkan faktor ekonomi yang menyebabkan berlakunya perubahan iklim.
Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Climatic Change tahun ini mengatakan bahawa daripada kira-kira AS$15 bilion nilai kerosakan yang disebabkan oleh Taufan Hagibis di Jepun pada 2019, dianggarkan AS$4 bilion boleh dikaitkan dengan pemanasan global.
Amaran taufan di Jepun menyusul tatkala taufan lautan yang kuat – ribut terkuat dalam beberapa dekad – membadai pinggir barat Alaska, membawa banjir besar kepada komuniti pantai dengan tiupan angin sehingga 90 batu sejam.
Sementara itu, di Puerto Rico, amaran taufan telah dikeluarkan apabila Ribut Tropika Fiona semakin kuat, dengan ahli kaji cuaca memberi amaran ia berkemungkinan besar akan menjadi taufan yang berpotensi menyebabkan tanah runtuh, banjir teruk dan gangguan bekalan elektrik.
Ribut itu telah melanda beberapa pulau Caribbean timur, dengan satu kematian dilaporkan di wilayah Perancis Guadeloupe. Pengawas wilayah Alexandre Rochatte berkata mayat itu ditemui di tepi jalan selepas sebuah rumah dihanyutkan di ibu negara Basse-Terre.
Lebih 20 orang lagi diselamatkan di tengah-tengah angin dan hujan lebat yang menyebabkan 13,000 penduduk terputus bekalan elektrik, dengan ribut meruntuhkan jalan, menumbangkan pokok dan memusnahkan sekurang-kurangnya satu jambatan. – Agensi