
Seorang juruterbang yang didakwa mabuk mendaratkan pesawat ringan satu enjin di lebuh raya Missouri, Amerika Syarikat, semalam. - Gambar Fox23
Pihak berkuasa Missouri di Amerika Syarikat (AS) menahan seorang juruterbang yang didakwa mabuk dan mendaratkan pesawat ringannya di lebuh raya setelah dikatakan kehabisan minyak.
Jurucakap Peronda Lebuhraya Negeri Missouri Sarjan Andy Bell berkata John Seesing, 35, menerbangkan pesawat satu enjin Piper Cherokee ke arah Lapangan Terbang Wheeler Downtown, Kansas City apabila terpaksa melakukan pendaratan cemas di lebuh raya Interstate 70.
Katanya, Seesing dari Prairie yang dalam perjalanan dari Florida ke Missouri, menghubungi menara kawalan sebelum mendarat berhampiran Grain Valley, jam 2.45 pagi, semalam (15 Julai 2022).
“Dia yang satu-satunya yang berada di dalam pesawat itu tidak melanggar mana-mana kenderaan dan hanya mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke hospital tempatan untuk rawatan,” katanya.
Bell berkata, pegawai peronda lebuh raya di tempat kejadian mendapati Seesing dalam keadaan mabuk.
Lapor Kansas City Star, Seesing ditahan susulan tindakan cuai kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk atau tidak sempurna, memiliki bahan terkawal dan senjata api yang menyalahi undang-undang serta memiliki kurang daripada 10 gram ganja dan peralatan dadah.
Saksi, Crystal Lipham berkata, dia memandu treler di Interstate 70 apabila dia melihat sebuah pesawat ringan, terbang rendah.
Menurut pendaftaran pegawai udara Pentadbiran Penerbangan Persekutuan, Seesing menerima sijil juruterbang pelajar pada Januari 2020 dan tidak dibenarkan membawa penumpang.
Sementara itu, rekod awam menunjukkan, Seesing mempunyai kes pelanggaran lalu lintas sebelum ini termasuk memandu melebihi had laju dan memandu tanpa lesen sah pada 2017. – Agensi