Juri mahkamah New York lihat wajah 9 konspirator seleweng dana 1MDB

Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng didakwa bertindak menyertai kumpulan global untuk menyeleweng berbilion-bilion dolar dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana ‘kemuliaan dan tamak’, kata seorang pendakwa kepada juri pada perbicaraan rasuah di Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Walaupun Ng meminta berpuluh-puluh juta dolar sebagai sogokan, dia juga berharap untuk menjadi rakan kongsi di Goldman Sachs Group Inc dengan membantu firma itu mengatur siri urus niaga bon yang lumayan untuk 1MDB, pendakwa Alixandra Smith memberitahu juri dalam hujah penutup kerajaan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, New York.

“Sementara defendan mengumpul berjuta-juta dolar setahun bekerja untuk Goldman Sachs, dia mahukan kemuliaan untuk beralih daripada menjadi pengarah urusan kepada rakan kongsi,” kata Smith.

“Paling penting, dia mahu wang yang dijanjikan, iaitu AS$35 juta.”

Ng, 49, adalah satu-satunya jurubank Goldman yang dibicarakan dalam skandal 1MDB, yang mana bank itu membayar lebih AS$5 bilion penalti.

Dia dituduh bersubahat dengan bekas bosnya, Tim Leissner, dan ahli perniagaan Malaysia dalam buruan, Jho Low untuk menyeleweng berbilion-bilion dolar daripada 1MDB ketika Goldman mengatur tiga perjanjian bon untuk dana itu pada 2012 dan 2013.

Ng didakwa dengan dua pertuduhan bersubahat untuk melanggar undang-undang antirasuah AS dan satu pertuduhan bersubahat untuk mencuci wang. Dia berdepan kemungkinan dipenjarakan selama beberapa dekad jika disabitkan kesalahan.

Smith menunjukkan kepada juri carta dengan wajah sembilan daripada konspirator bersama Ng yang didakwa, termasuk Leissner dan isteri kedua-dua jurubank, serta kakitangan 1MDB yang dikatakan kerajaan mendapat sogokan.

Beliau berkata carta itu menunjukkan bagaimana usaha Ng “diselaraskan” dengan tindakan orang lain yang menggunakan akaun bank luar pesisir dan akaun e-mel palsu untuk menyembunyikan dana itu dan dibayar lumayan oleh Jho Low.

“Defendan mahu anda percaya bahawa dia berada di atas sana secara tidak sengaja, satu-satunya yang tidak tahu apa yang sedang berlaku,” katanya.

“Tetapi semua bukti menjelaskan: Semua yang dilakukan oleh defendan adalah selaras dengan apa yang dilakukan oleh semua konspirator.”

Berpuluh-puluh juta dolar dalam bentuk rasuah telah dibayar kepada pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi untuk mendapatkan urusniaga 1MDB buat Goldman, manakala Low memberikan sogokan kepada Ng dan Leissner untuk mengatur tiga perjanjian bon, kata Smith.

Leissner, yang mengaku bersalah dan memberi keterangan terhadap Ng, telah memberitahu juri dia mengumpul lebih daripada AS$60 juta dan membayar Ng lebih AS$35 juta.

Smith memberitahu juri bahawa mereka boleh mengikuti wang dalam dana yang dipindahkan daripada perjanjian 1MDB kepada syarikat yang dikawal Low dan akhirnya kepada entiti luar pesisir yang dikawal oleh isteri Ng, Hwee Bin Lim.

Lim telah memberi keterangan bahawa AS$35 juta yang dihantar ke akaun atas nama ibunya adalah untuk perjanjian perniagaan yang berasingan dan sah dengan isteri Leissner pada masa itu.

Smith memberitahu juri bahawa e-mel dan bukti lain menunjukkan Ng dan isterinya yang mengawal dana, dan bukannya ibu mertua Ng seperti yang dihujahkan pembelaan.

Sebahagian daripada dana itu digunakan untuk membeli barangan mewah, termasuk lebih AS$250,000 dalam bentuk perhiasan berlian, kata Smith.

Lim tidak didakwa dalam kes itu, tetapi pihak pendakwa telah memberitahu mahkamah bahawa dia “menyertai, sekurang-kurangnya, dalam konspirasi untuk mencuci hasil jenayah.”

Peguam Ng telah berhujah bahawa Lim tidak mempunyai pengetahuan penting dan oleh itu “tidak mungkin menjadi sebahagian daripada konspirasi untuk melakukan pengubahan wang haram”.

Pendakwa raya berkata Goldman memperoleh lebih daripada AS$600 juta untuk peranannya dalam tiga perjanjian bon 1MDB.

Perbicaraan itu menarik perhatian apabila nama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor turut dikaitkan ketika saksi pendakwaan memberi keterangan.

Malah, dalam satu sesi perbicaraan itu, juri Mahkamah Persekutuan AS melihat bukti kukuh tentang barang kemas yang dibeli dengan wang yang didakwa diseleweng dalam skandal rasuah melibatkan berbilion-bilion ringgit dana 1MDB.

Bagaimanapun, juri tidak dapat melihat kalung sebenar bernilai AS$23 juta dengan berlian merah jambu yang cukup besar yang direka oleh tukang emas berprestij New York, Lorraine Schwartz untuk Rosmah.

Mereka juga tidak ditunjukkan gambar rantai dan berlian merah jambu itu,sebaliknya hanya melihat invois. – Bloomberg

BERITA BERKAIT
POPULAR