Juri AS mula bincang kes rasuah 1MDB bekas pegawai bank Goldman

April 6, 2022 · Dunia

Nasib bekas eksekutif bank Goldman Sachs, Roger Ng, yang dituduh bersubahat untuk menyeleweng berbilion-bilion dolar Amerika Syarikat (AS) daripada dana berdaulat Malaysia 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kini berada di tangan juri.

Para juri, di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, di New York, mula membincangkan pertuduhan – bersubahat untuk melanggar undang-undang antirasuah AS dan untuk mencuci wang – selepas hakim mengarahkan mereka mengenai undang-undang itu petang Selasa.

Pendakwa raya berkata Ng, bekas jurubank pelaburan terkemuka Goldman untuk Malaysia, membantu bekas ketuanya Tim Leissner menggelapkan wang daripada dana 1MDB, mencuci hasil dan merasuah pegawai untuk memenangi urus niaga buat Goldman.

Dana 1MDB diasaskan untuk meneruskan projek pembangunan di Malaysia.

Ng, 49, mengaku tidak bersalah bersubahat untuk mencuci wang dan melanggar undang-undang antirasuah.

Peguamnya berkata Leissner, yang mengaku bersalah atas pertuduhan serupa pada 2018 dan bersetuju untuk bekerjasama dengan pendakwa raya, secara palsu membabitkan Ng dengan harapan menerima hukuman ringan.

Tuduhan terhadapnya berpunca daripada salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia.

Menurut pendakwa raya AS, Goldman membantu 1MDB mengumpul AS$6.5 bilion melalui tiga jualan bon, tetapi AS$4.5 bilion telah dialihkan kepada pegawai kerajaan, jurubank dan rakan sekutu mereka melalui rasuah dan sogokan.

Dalam perbicaraan hampir dua bulan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, juri mendengar keterangan daripada Leissner sembilan hari, yang antara lain memberitahu dia menghantar wang sogokan kepada Ng sebanyak AS$35 juta.

Leissner berkata Ng bersetuju untuk memberitahu bank “cover story” bahawa wang itu adalah daripada usaha perniagaan yang sah antara isteri mereka.

Isteri Ng, Hwee Bin Lim, kemudian memberi keterangan untuk pembelaan bahawa perniagaan itu, sebenarnya, sah.

Lim berkata dia melabur AS$6 juta pada pertengahan tahun-tahun 2000 dalam sebuah syarikat China yang dimiliki oleh keluarga isteri Leissner pada masa itu, dan AS$35 juta itu adalah pulangannya daripada pelaburan berkenaan.

Peguam Ng, Marc Agnifilo, menegaskan kepada juri dalam hujah penutupnya pada Isnin bahawa Leissner tidak boleh dipercayai.

Alixandra Smith, seorang pendakwa, berkata dalam hujah penutupnya bahawa bukti lain menyokong keterangan Leissner.

Ng mungkin akan menjadi satu-satunya individu yang menghadapi perbicaraan di AS berhubung skandal 1MDB.

Goldman pada 2020 membayar denda hampir AS$3 bilion dan unit Malaysianya bersetuju untuk mengaku bersalah.

Dalang yang disyaki skim itu, ahli perniagaan Malaysia dalam buruan Jho Low, telah didakwa bersama Ng pada 2018 tetapi dia masih bebas.

Perbicaraan Ng di AS itu juga menarik perhatian apabila Leissner turut mendakwa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor berada di senarai teratas yang akan disogok untuk mendapat kelulusan perjanjian mengumpul dana 1MDB.

Liessner mendedahkan carta ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low untuk merasuah pegawai di Malaysia dan Abu Dhabi berhubung dana 1MDB.

Ketika menjawab soalan Agnifilo, Leissner mengesahkan senarai nama itu mengandungi rakyat Malaysia di sebelah kiri, dan nama teratas adalah Najib yang juga Menteri Kewangan pada masa itu, dan Rosmah.

Dalam kes itu, saksi pendakwaan yang juga ejen FBI Eric Van Dorn mendedahkan Najib menerima dana yang diseleweng daripada 1MDB sebanyak AS$756 juta atau bersamaan RM3.18 bilion.

Najib kini berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malah, dalam satu sesi perbicaraan itu, juri Mahkamah Persekutuan AS melihat bukti kukuh tentang barang kemas yang dibeli dengan wang yang didakwa diseleweng dalam skandal rasuah melibatkan berbilion-bilion ringgit dana 1MDB.

Bagaimanapun, juri tidak dapat melihat kalung sebenar bernilai AS$23 juta dengan berlian merah jambu yang cukup besar yang direka oleh tukang emas berprestij New York, Lorraine Schwartz untuk Rosmah.

Mereka juga tidak ditunjukkan gambar rantai dan berlian merah jambu itu,sebaliknya hanya melihat invois.

Rosmah pula dalam satu kes berasingan daripada 1MDB, diperintah membela diri terhadap tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Dia berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd ketika itu, Saidi Abang Samsuddin. – Agensi

Berita berkaitan
Rafizi balas kecaman Puad, ‘dia saja seorang bising’
March 27, 2024· Politik
Perbicaraan 1MDB: Saksi beritahu perbincangan atas kapal tiada wakil pegawai kerajaan
January 5, 2024· Isu semasa
Saksi kes 1MDB Najib positif Covid-19, perbicaraan disingkatkan
December 15, 2023· Isu semasa
Rosmah mohon representasi baharu gugur 17 pertuduhan kes mahkamah
December 13, 2023· Politik
Popular
Korea Selatan, AS dan Jepun mahu ambil tindakan terhadap Korea Utara
September 2, 2022
Harimau Malaya terkam pembersih Zoo Naples AS ditembak mati
December 30, 2021
Lagi Dunia terkini
Konflik Gaza: Angka korban mangsa kekejaman Zionis meningkat 14,532 orang
November 23, 2023 · Dunia
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023 · Dunia
Israel melakukan jenayah perang, dakwa Menteri Luar Jordan
November 6, 2023 · Dunia
Internet dan telefon tidak dapat diakses di utara Semenanjung Gaza: Laporan
October 30, 2023 · Dunia
Letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Tak Bai
October 21, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok