Jual vaksin kepada rakyat bukti pemerintah gagal

Program vaksinasi di Indonesia dilihat masih perlahan berbanding jumlah penduduknya. - Gambar AFP

Gabungan Masyarakat Awam Indonesia mendesak pemerintah republik itu berhenti daripada ‘menjual’ vaksin kepada rakyat tatkala negara sedang berdepan peningkatan pandemik Covid-19.

Gabungan itu dalam kenyataan hari ini juga menegaskan pemerintah yang mengenakan caj atau ‘berniaga’ dengan rakyat sebagai tidak beretika dan gagal bertanggungjawab terhadap rakyat.

“Gabungan Masyarakat Awam meminta pemerintah menghentikan aturan vaksin Covid-19 berbayar atau vaksin gotong-royong untuk individu atau perseorangan.

“Aturan ini dinilai sebagai bentuk kegagalan pemerintah melaksanakan mandat vaksinasi Covid-19 bagi seluruh rakyat yang sepatutnya memperoleh vaksin secara percuma

“Ini juga menegaskan bahawa pemerintah tidak beretika kerana berniaga vaksin Covid-19 yang merupakan barangan awam untuk perlindungan keshatan rakyatnya,” kata gabungan itu.

Menurut gabungan itu, tindakan ‘menjual’ vaksin kepada orang ramai adalah pelanggaran terhadap hak kesihatan masyarakat yang dilindungi perlembagaan.

Sementara itu, desakan berkenaan turut mendapat sokongan anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang menganggap ‘program vaksinasi gotong-royong’ membebankan sektor industri dan individu yang berharap memperoleh vaksin Covid-19 secara percuma.

Anggota Jawatankuasa Kesihatan DPR, Kurniasih Mufidayati berkata pemerintah kerap mengubah peraturan sehingga ada yang sekarang ini membebankan sektor industri dan individu apabila mengenakan caj bagi suntikan vaksin.

“Kami ingin melaporkan bahawa pemerintah sering kali mengubah peraturan, sehingga sekarang muncul pula vaksin berbayar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengingatkan bahawa pada pertengahan Disember tahun lalu Presiden Joko Widodo atau Jokowi telah menyatakan bahawa pemberian vaksin kepada masyarakat adalah percuma.

Namun, katanya, Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin menerbitkan arahan baharu tahun ini mengenai pelaksanaan program pemberian vaksin.

“Dalam peraturan baharu itu, vaksin gotong-royong boleh diberikan kepada individu atau caj dikenakan kepada pihak berkaitan (vaksin berbayar). Pada hal ia adalah percuma.

“Kita sedang berkejaran dengan waktu munculnya beberapa varian baharu dan kemudiahan kesihatan yang semakin membimbangkan. Program vaksinasi perlu segera dipercepatkan.

“Dan kami juga meminta pemerintah supaya tidak ‘berniaga’ dengan rakyat ketika pandemik Covid-19 yang semakin teruk,” katanya. – Agensi

POPULAR