Jokowi umum Pilihan Raya Umum Indonesia diadakan pada Februari 2024

Pilihan Raya Umum (Pemilu) Indonesia diputuskan akan diadakan pada 14 Februari 2024 nanti, kata Joko Widodo (Jokowi).

Presiden Indonesia membuat pengumuman tersebut susulan kebimbangan setengah pihak pilihan raya akan ditangguhkan sehingga menyebabkan berlaku demonstrasi jalanan di Jakarta selepas spekulasi mengatakan terdapat rancangan untuk mengekalkan kedudukan sedia ada.

Pemilu akan diadakan pada Februari 2024 disusuli pilihan raya ketua daerah (Pilkada) berlangsung pada November 2024.

Lapor CNN Indonesia, Jokowi mengumumkan perkara itu menerusi ucapan dalam Youtube Sekretariat Negara kelmarin.

Beliau juga meminta semua menteri supaya memaklumkan perkara tersebut kepada rakyat.

“Saya kira sudah jelas semuanya bahawa Pemilu dan Pilkada akan berlangsung pada Februari serta November 2024, seperti yang dipersetujui sebelum ini.

“Sehubungan itu, saya tidak mahu timbul lagi pelbagai spekulasi mengenai penundaan Pemilu dan lanjutan perkhidmatan presiden menjadi tiga penggal,” katanya.

Selain itu, Jokowi turut memaklumkan, proses Pemilu akan bermula pertengahan Jun ini berdasarkan undang-undang pilihan raya yang ditetapkan.

Katanya, semua hal berkaitan pilihan raya itu perlu dijelaskan dengan terperinci kepada semua lapisan masyarakat bagi memastikan proses berjalan lancar.

Dalam pada itu, bekas Gabenor Jakarta itu juga akan memastikan barisan pesuruhjaya dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) dan anggota Badan Pemantau Pilihan Raya (Bawaslu) dilantik hari ini.

“Bagi memastikan Pemilu kali ini berjalan lancar, saya juga meminta anggaran kos persiapan yang dijangka menelan belanja sebesar 110.4 trilion rupiah (RM32.4 bilion) diputuskan segera.

“Menteri-menteri yang berkaitan turut diarah untuk berkomunikasi secara intensif dengan Dewan Perwakilan Rakyat dan KPU,” ujarnya.

Sebelum ini, Jokowi pernah menegur barisan menterinya supaya tidak bercakap soal penangguhan Pemilu, sebaliknya menumpukan usaha membantu rakyat.

BERITA BERKAIT
POPULAR