Jokowi syor tiada makan minum ketika perhimpunan ‘halalbihalal’

Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) mencadangkan umat Islam Indonesia tidak mengadakan jamuan besar-besaran ketika perhimpunan ‘halalbihalal’ pasca-Ramadan atau sambutan rumah terbuka Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Penanganan Covid-19 Indonesia, Airlangga Hartarto berkata cadangakn itu disampaikan Jokowi pada mesyuarat terhad penilaian dasar sekatan mobiliti awam (PPKM), hari ini (18 April 2022).

“Bagi acara halalbihalal, ia perlu diadakan di bawah protokol kesihatan dan disyorkan tanpa aktiviti makan dan minum,” katanya selepas mesyuarat di Istana Merdeka di Jakarta Pusat.

Bagaimanapun, Airlangga berkata cadangan Jokowi supaya tiada makan minum ketika perhimpunan itu hanya sekadar syor dalam usaha mengurangkan penularan Covid-19.

Acara perhimpunan dengan menyediakan makanan dan minuman dibenarkan dengan syarat, seperti memathui penjarakan fizikal dan diadakan di tempat tertentu.

Kerajaan telah mengeluarkan rayuan sedemikian berkali-kali sebelum ini. Sebelum bulan puasa, Presiden telah melarang pegawai dan penjawat awam negeri mengadakan majlis berbuka puasa dan majlis rumah terbuka.

Selain itu, Airlangga berkata Jokowi mahu tempat hiburan dan ruang awam dibuka di bawah protokol kesihatan yang telah ditetapkan “dan mengikut kapasiti.”

Airlangga yang juga Menteri Penyelaras Ekonomi berkata peraturan ini akan dikawal secara terperinci dalam Arahan Menteri Dalam Negeri yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Selain itu katanya, pemerintah Indonesia juga meminta orang ramai mengelak daripada melancong ke luar negara semasa cuti panjang Aidilfitri 1443 Hijrah bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

“Dalam tempoh cuti panjang ini, orang ramai dinasihatkan untuk tidak melancong ke luar negara kerana kita tahu situasi di negara lain tidak sama seperti di Indonesia. Jadi ada potensi penularan virus dari luar negara,” kata Airlangga.

Menurutnya, negara asing masih melihat trend peningkatan dalam kes Covid-19, seperti Shanghai di China, yang memaksa pihak berkuasa tempatan menguatkuasakan sekatan wilayah.

Airlangga menegaskan bahawa pandemik Covid-19 masih belum berakhir memandangkan jumlah kes yang semakin meningkat.

Beliau mengingatkan agar tidak ada kes import yang boleh mencetuskan lonjakan penularan tempatan.

Pasukan Petugas Covid-19 negara merekodkan trend penularan di Indonesia telah menurun dengan ketara setakat pertengahan April 2022. Pada Ahad, 17 April, Indonesia hanya melaporkan 607 kes harian baharu dan 58,278 kes aktif. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR