Jokowi nafi pilihan raya presiden 2024 akan ditangguhkan

Presiden Indonesia Joko Widodo atau dikenali sebagai Jokowi menafikan pentadbirannya cuba menangguhkan pilihan raya presiden 2024, ia walaupun terdapat sekutnya yang menyokong idea tersebut.

Jokowi mengeluarkan penafian itu sehari sebelum pelajar merancang untuk mengadakan protes besar-besaran di ibu kota Jakarta dan beberapa bandar lain sebagai tanda bantahan terhadap rancangan tersebut.

Kumpulan pelajar menyifatkan sekiranya langkah menangguhkan pilihan raya itu diteruskan ia akan mengancam sistem demokrasi negara itu. Bantahan pelajar di Indonesia sering bertukar menjadi ganas.

Semasa mesyuarat Kabinet membincangkan persiapan untuk pilihan raya 2024, Widodo mengarahkan menterinya menjelaskan secara terbuka kepada umum bahawa semua persediaan di setiap peringkat dan jadual pemilihan sudah dimuktamadkan.

“Ini perlu dijelaskan supaya tidak timbul khabar angin yang bertiup kencang di kalangan rakyat kerajaan cuba menangguhkan pilihan raya atau spekulasi mengenai lanjutan tempoh jawatan presiden atau penggal ketiga yang berkaitan,” kata Jokowi.

“Sebab jelasnya, kita telah bersetuju bahawa pilihan raya akan diadakan pada 14 Februari 2024.”

Tokoh terkenal, termasuk menteri Kabinet Luhut Binsar Pandjaitan dan Airlangga Hartarto, yang juga pengerusi parti Golkar dalam gabungan parti pemerintah baru-baru ini mencadangkan supaya pilihan raya ditangguhkan.

Pandjaitan, sekutu rapat Jokowi, baru-baru ini mendakwa data menunjukkan 110 juta rakyat Indonesia menyokong cadangan penangguhan pilihan raya.

Selain itu, media tempatan Kompas melaporkan hasil tinjauan di Indonesia menunjukkan Jokowi sangat popular di Indonesia dengan lebih 70 peratus penarafan kepercayaan awam.

BERITA BERKAIT
POPULAR