Jokowi kemuka AS$188.30 bilion bajet 2022 Indonesia

Menyasarkan pemulihan ekonomi serta memperkukuhkan struktur reformasi dengan menjadikan Covid-19 sebagai fokus utama, Presiden Indonesia hari ini membentangkan Bajet 2022 berjumlah AS$188.30 bilion dengan defisit fiskal yang menurun.

Jumlah bajet yang dibentangkan itu 2,708.7 trilion rupiah, adalah lebih besar daripada peruntukan tahun ini sebanyak 2,697.2 trilion rupiah.

Negara itu juga menyasar pertumbuhan ekonomi 2022 sebanyak 5 peratus hingga 5.5 peratus, meningkat daripada anggaran tahun ini sebanyak 3.7 peratus hingga 4.5 peratus.

Dalam ucapan bajet di Parlimen negara itu, Joko Widodo atau Jokowi, berkata kerajaan Indonesia akan menggunakan semua sumber dalam mengendalikan pandemik Covid-19.

Bajet itu juga menyasar untuk mengurangkan defisit Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.85 peratus, berbanding unjuran defisit tahun ini sebanyak 5.82 peratus.

Jokowi berkata kerajaan berada di landasan betul bagi menurunkan defisit kepada di bawah tiga peratus pada 2023.

Untuk tahun depan, Jokowi mencadangkan sebanyak 255.3 trilion rupiah untuk sektor kesihatan, termasuk ujain saringan, pengesanan dan perawatan kes-kes Covid-19 serta pembelian vaksin, serta 427.5 trilion rupiah untuk kebajikan dan 384.8 trilion rupiah (infrastruktur).

Beliau turut menyasarkan peningkatan pemerolehan sebanyak enam peratus tahun depan, tetapi tidak menyatakan secara jelas mengenai cukai, termasuk cadangan menaikkan sesetengah cukai.

Parlimen negara itu dijangka mengundi terhadap bajet berkenaan lewat September atau awal Oktober ini. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR