
Indonesia membenarkan pawagam dibuka semula dengan kapasiti 50 peratus tempat duduk mulai 20 September 2021. - Gambar AFP
Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi mengarahkan Kabinetnya membuat persediaan rapi berdepan senario gelombang ketiga penularan Covid-19 di seluruh negara yang mempunyai populasi keempat paling ramai di dunia.
Menteri Koordinasi Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan berkata Jokowi telah mengarahkan persiapan berdepan senario terburuk membabitkan gelombang ketiga jangkitan itu.
Beliau memetik hasil satu kajian yang menyatakan bahawa kunci utama dalam menyekat penyebaran virus adalah dengan mengawal jumlah kes selama tempoh jangkitan perlahan atau rendah.
Luhut berkata Indonesia perlu memastikan jangkitan harian turun kepada 10 kes per satu juta penduduk atau secara keseluruhannya antara 2,700 hingga 3,000 kes.
“Saya percaya kita akan dapat mengawal penularan kes di bawah standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya hari ini.
Menurutnya Indonesia hari ini mencatat 1,932 kes positif harian, terendah sejak Ogos 2020, membolehkan pemerintah negara itu melonggarkan lagi perintah sekatan di Jawa dan pulau peranginan Bali.
Indonesia, yang pernah menjadi pusat penularan Covid-19 di Asia, mencatatkan kes positif hampir 4.2 juta kes dan lebih 140,000 kematian, namun jangkitan baharu turun 98 peratus berbanding kemuncak gelombang kedua pada Julai lalu.
Luhut berkata kadar purata kes positif di bawah empat peratus bulan ini, di bawah ketetapan lima peratus WHO sebelum diisytiharkan sama ada penularannya dapat dikawal.
Namun, Luhut yang memberi amaran risiko jangkitan dan gelombang baharu akan tercetus berkata, protokol kuarantin di semua pintu masuk ke negara itu diperketatkan susulan kes di negara jiran masih tinggi.
Namun, antara kelonggaran yang diberikan mulai hari ini termasuk pembukaan semula pawagam dengan kapasiti 50 peratus tempat duduk, dan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dibenar untuk dibawa ke pusat beli-belah. – Agensi