
Ahli perniagaan Malaysia Teow Wooi Huat kini ditahan Pejabat Imigresen Suan Plu di Bangkok, Thailand. - Gambar Bangkok Post
Ahli perniagaan Malaysia Teow Wooi Huat masih berada di bawah tahanan pihak imigresen Thailand dipercayai sedang menunggu untuk dihantar ke China.
“Dia dijangka dihantar ke China tidak lama lagi,” kata sumber polis seperti dilaporkan Bernama, tanpa mahu menyatakan butiran bila Teow akan dihantar ke negara itu.
Bagaimanapun, media tempatan di Thailand melaporkan yang Teow akan dihantar ke China hari ini (Selasa, 26 Julai 2022).
Jumaat lalu, Teow yang berada dalam senarai merah Interpol, dipanggil pihak polis untuk diberitahu yang visanya telah dibatalkan.
Dia kemudian diserahkan kepada imigresen di Songkhla dan dipindahkan ke Pejabat Imigresen Suan Plu di Bangkok.
Teow, 55, yang juga digelar Jho Low 2, merujuk kepada seorang lagi ahli perniagaan Malaysia yang sedang diburu Low Taek Jho yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, telah melarikan diri ke Dannok di Sadao, Selatan Thailand, pada 2020.
Teow membina empayar perniagaan daripada skim pelaburan haram dalam talian yang memikat pelabur dari China, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Macau.
Pada 2017, Teow ditahan pihak berkuasa Malaysia atas tuduhan dadah tetapi berjaya melarikan diri ke Thailand dan terlepas daripada hukuman gantung.
Pada 2019, pihak berkuasa Malaysia membekukan 91 akaun bank berjumlah RM177 juta yang dikaitkan dengan MBI Group International ketika itu. Bank Negara telah menyenaraikan syarikat itu sebagai syarikat yang menjalankan skim kewangan meragukan.
Dia juga dihendaki berhubung pelaburan wang haram berjumlah RM336 juta (AS$83 juta) di Macau.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan ahli perniagaan terbabit kini ditahan pihak berkuasa Thailand.
Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata suspek merupakan individu yang disiasat oleh PDRM di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“PDRM kini sedang dalam proses permohonan untuk penama dihantar pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.