
Parlimen Jerman bersedia untuk menerima pakai undang-undang yang melonggarkan peraturan dan prosedur kesihatan yang dijangka dilaksanakan mulai Sabtu ini. - Gambar Reuters
Jerman melaporkan satu lagi rekod tertinggi jangkitan harian Covid-19 tujuh hari berturut-turut pada Rabu (16 Mac 2022) tatkala negara itu bersiap sedia untuk melonggarkan sekatan.
Institut Robert Koch (RKI) mencatatkan 262,593 jangkitan baharu, melonjak 22 peratus berbanding seminggu lalu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu hampir mencecah 17.7 juta.
Jangkitan harian melonjak semula sejak awal Mac selepas peraturan menghalang orang yang tidak divaksinasi daripada mengakses banyak ruang awam dalaman mula dilonggarkan.
Kadar kenaikan tujuh hari kepada paras tertinggi baharu iaitu 1,607 jangkitan bagi setiap 100,000 orang pada Rabu, meningkat daripada 1,585 sehari sebelumnya.
Jerman juga merekodkan 269 pesakit Covid-19 meninggal dunia, menjadikan jumlah kematian kepada 126,142 orang.
Pada Jumaat lalu, Parlimen negara itu bersedia untuk menerima pakai undang-undang yang melonggarkan peraturan dan prosedur kesihatan yang dijangka dilaksanakan mulai Sabtu ini.
Kerajaan berhujah bahawa walaupun kes semakin meningkat, tidak ada lagi risiko besar yang boleh membebankan sistem kesihatan susulan kejayaan program vaksinasi dan fakta bahawa varian Omicron yang dominan sering menyebabkan gejala lebih ringan.
Bagaimanapun, langkah perlindungan terhad masih akan dikuatkuasakan di kawasan panas Covid-19 dengan bilangan jangkitan yang tinggi. – Agensi