Jerman bakal longgar sekatan walaupun kes harian cecah 236,120

Pakar kesihatan Jerman kini berbelah-bahagi sama ada negara itu telah bersedia untuk melonggarkan sekatan dan larangan Covid-19 sebagaimana dilakukan jirannya.

Jerman semalam, merekod 236,120 kes harian baharu didorong penularan varian Omicron, tetapi beberapa pakar kesihatan mengatakan sudah tiba masanya untuk melaksanakan rancangan membebaskan negara itu daripada sekatan secara beransur-ansur.

Manakala kadar jangkitan tujuh hari juga mencecah rekod tertinggi iaitu 1,227.5 kes bagi setiap 100,000 penduduk. Kematian juga meningkat sebanyak 196 kes, menjadikan jumlah keseluruhan sejak permulaan wabak itu kepada 118,170 kes.

Menteri Kesihatan Karl Lauterbach menjangkakan jumlah jangkitan harian akan memuncak pada pertengahan Februari, di mana mungkin terdapat sehingga 400,000 kes baharu setiap hari.

Sehingga kini, Jerman merekodkan lebih 10.5 juta kumulatif kes positif.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Doktor Keluarga, Dr Andreas Gassen memberitahu akhbar Rheinische Post bahawa menggubal rancangan membebaskan negara daripada sekatan Covid-19 kini merupakan tugas terpenting dalam politik, kata

Menurutnya Jerman perlu hidup dengan Covid-19 seperti halnya dengan influenza yang sentiasa mempunyai varian baharu dan puluhan ribu kematian setiap tahun.

“Kita harus menerima Covid-19 dan pada masa sama terus menawarkan vaksinasi kepada kumpulan berisiko,” katanya.

Negara-negara Eropah lain, termasuk Finland, Britain, Ireland dan negara jiran Austria serta Switzerland telah mula melonggarkan sekatan mereka dalam beberapa hari kebelakangan ini untuk membolehkan kehidupan kembali normal seperti sebelum pandemik melanda pada 2020 lalu.

Minggu lalu, Canselor Jerman Olaf Scholz enggan memberikan butiran mengenai rancangan negara itu untuk melonggarkan sekatan sebelum gelombang jangkitan terkini memuncak, yang dijangka pada pertengahan Februari.

Tetapi beberapa negeri di Jerman, seperti Saxony dan Schleswig-Holstein telah pun mengumumkan sekatan telah dilonggarkan awal minggu ini; satu langkah yang dikritik oleh beberapa pakar kesihatan Jerman sebagai pramatang. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR