
Jepun bakal mengadakan pilihan raya umum pada 31 Oktober ini. - Gambar Getty
Jepun akan menarik balik perintah darurat Covid-19 di setiap wilayahnya mulai esok, susulan jangkitan baharu dan kesesakan ke atas sistem perubatan di negaranya mula berkurangan.
Menteri Ekonomi, Yasutoshi Nishimura memaklumkan rancangan yang diluluskan panel penasihat kerajaan itu adalah bagi menamatkan perintah berkurung di seluruh negara buat pertama kalinya dalam tempoh enam bulan.
Perdana Menteri, Yoshihide Suga semalam mengadakan sidang media bagi mengumumkan keputusan terbabit selepas rancangan itu diputuskan oleh pasukan bertindak kerajaan.
Namun begitu, Nishmura memberitahu bahawa sekatan akan dikenakan ke atas tempat makan dan aturcara berskala besar untuk tempoh sebulan lagi bagi mencegah peningkatan semula jangkitan.
“Jangkitan baharu pasti akan meningkat selepas perintah berkurung ini ditamatkan dan kita akan melaksanakan pelbagai kaedah untuk mencegah penularan itu.
“Sekiranya kes meningkat semula, perintah berkurung dilonggarkan mungkin akan dilaksanakan,” jelasnya.
Dalam tempoh 24 jam lalu Jepun melaporkan 1,722 kes baharu Covid-19 dan 50 kematian, menjadikan angka kes di negara itu mencecah hampir 1.7 juta dan 17,574 kematian sejak Mac tahun lalu. – Agensi