Jepun kenakan sekatan terhadap barang Rusia, termasuk import vodka

Jepun enggan bertolak-ansur terhadap jenayah perang dilakukan Rusia kepada Ukraine dan mengambil langkah mengenakan sekatan terbaharu terhadap barangan negara tersebut.

Langkah sekatan terbaharu itu melibatkan pembekuan aset baharu dan menamatkan import arang batu Rusia, jentera serta minuman vodka.

Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida mengambil keputusan mengumumkan langkah sekatan terbaharu tersebut disamping Kementerian Luarnya bertindak mengusir lapan diplomat Rusia dan bakal memecat pegawai perdagangan.

“Tentera Rusia membunuh orang awam secara sewenang-wenangnya dan menyerang kemudahan nuklear, melakukan jenayah perang yang tidak boleh ditolak-ansur di Ukraine,” kata Kishida semasa sidang media.

“Orang yang bertanggungjawab atas perbuatan tidak berperikemanusiaan itu perlu dipertanggungjawabkan.”

Selain itu, Kishida juga berkata Jepun menyokong sepenuhnya siasatan Mahkamah Jenayah Antarabangsa terhadap “kekejaman” Rusia.

Moscow juga dilaporkan meningkatkan aktiviti ketenteraan di sekitar perairan Jepun dan mengancam untuk bertindak balas terhadap tindakan Tokyo.

BERITA BERKAIT
POPULAR