Jepun berdepan krisis Covid-19 paling buruk

Jepun sedang berdepan situasi paling serius sejak pandemik Covid-19 bermula di negara itu, kata penasihat utama kesihatannya sambil menggesa kerajaan memberi mesej yang jelas dan kukuh mengenai risiko bakal dihadapi termasuk dalam sistem kesihatan.

Semalam negara itu melaporkan jangkitan baharu melebihi 10,000 kes buat pertama kali, lapor stesen televisyen Nippon TV, selepas pihak berkuasa tempatan Tokyo – tuan rumah Sukan Olimpik 2020 – merekodkan 3,865 jangkitan baharu.

Sementara penganjur acara sukan itu pula memaklumkan 24 kes baharu Covid-19 dikesan, termasuk tiga membabitkan atlet, menjadikan keseluruhannya 193 kes sejak 1 Julai lalu.

Jurucakap Tokyo 2020, Masa Takaya berkata dua atlet dalam dua acara sukan membabitkan peserta luar negara dijangkiti Covid-19 telah dimasukkan ke hospital, semalam, tetapi tahap jangkitan mereka tidak serius.

“Krisis terbesar ialah masyarakat tidak mempunyai perasaan untuk berkongsi risiko. Jumlah di Tokyo yang melepasi 3,000 kes dan keadaan ini memberi kesan apabila diumum.

“Kita mahu kerajaan menghantar isyarat jelas dan kuat mengenai kesan jangkitan itu kepada masyarakat,” kata Ketua Penasihat Kesihatan Jepun Shigeru Omi kepada jawatankuasa Parlimen negara itu.

Jumlah peningkatan kes baharu itu memberi kesan tambahan kepada acara sukan Olimpik yang diadakan dengan langkah ketat, termasuk melarang kehadiran penonton.

Omi berkata vaksinasi membantu mengekang penularan virus Covid-19, tetapi banyak lagi faktor yang mengancam akan menyebabkan peningkatan jangkitan termasuk kewujudan varian Delta yang sangat mudah tersebar.

Hanya sekitar 26.5 peratus daripada populasi Jepun menerima suntikan vaksin sepenuhnya.

Tokyo diletakkan pada Tahap 4 darurat tetapi kebanyakan langkah sekatan yang dibuat gagal mengekang penularan Covid-19 setelah kewujudan varian Delta. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR