Jemaah umrah antara 104 kes positif varian Omicron di Thailand

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 Thailand (CCSA) mengesahkan sehingga semalam telah mengesan 104 kes positif varian baharu Covid-19, Omicron, namun sesetengah daripada mereka telah pulih.

Jurucakap CCSA yang juga Pengarah Komunikasi Bencana Jabatan Kawalan Penyakit Thailand, Dr Sumanee Wacharasin berkata, semua pesakit berkenaan telah dikuarantin di hospital dan diberikan rawatan.

“Sesetengah daripada mereka telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital,” katanya semalam.

10 Disember lalu, Thailand melaporkan kes pertama Omicron membabitkan seorang wanita tempatan berusia 49 tahun yang dijangkiti varian itu daripada suaminya, seorang juruterbang yang tiba dari Nigeria.

Juruterbang berusia 62 tahun itu dari Colombia telah menerima dua suntikan vaksin AstraZeneca. Dia tiba dari Nigeria pada 26 November lalu dan ujian Covid-19 ketika ketibaan adalah negatif, dan tinggal di sebuah hotel di di Bangkok menerusi skim ‘Sandbox’.

Pada 1 Disember, beliau menerima suntikan penggalak vaksin Pfizer, dan tinggal di rumah bersama isterinya sebelum mengalami demam, tetapi ujian antigennya kekal negatif.

“Apabila masih tidak sembuh, isterinya membawanya ke hospital pada 7 Disember, di mana dia disahkan positif Covid-19 varian Omicron. Wanita itu disahkan positif Omicron pada 10 Disember,” katanya.

Sementara itu, katanya enam lagi kes Omicron dikesan dalam kalangan 18 jemaah umrah yang positif Covid-19 sekembalinya mereka dari Arab Saudi.

Dr Sumanee berkata mereka adalah daripada sekumpulan 31 jemaah umrah yang pulang ke beberapa wilayah di Thailand sejak Rabu minggu lalu.

Pada masa sama, katanya hampir 4,125 pengembara yang memasuki Thailand sudah menjalani kuarantin wajib antara tujuh hingga 14 hari.

“Sehingga kini, seramai 416 pengembara disahkan positif Covid-19,” katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR